liza24/11/2026 - 10:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – OCK Group Berhad berpeluang membuka lembaran baharu menerusi kemungkinan penyenaraian awam awal (IPO) perniagaan menara telekomunikasinya selepas portfolio infrastruktur kumpulan itu meningkat kepada lebih 9,000 tapak menerusi pengambilalihan operasi menara di Kemboja.
RHB Research berkata, peluasan portfolio menerusi pengambilalihan 80% kepentingan dalam edotCo Cambodia (ECC) itu akan memberikan skala operasi lebih besar kepada perniagaan menara OCK yang menyediakan asas bagi kemungkinan langkah merealisasikan nilai aset menerusi IPO pada masa hadapan.
Menurut firma penyelidikan itu, pihak pengurusan OCK sebelum ini tidak menolak kemungkinan penyenaraian perniagaan menara berkenaan dengan tambahan kira-kira 3,900 tapak di Kemboja dijangka meningkatkan keseluruhan portfolio kumpulan kepada lebih 9,000 tapak.
Bagaimanapun, kemungkinan IPO itu masih belum menjadi keputusan rasmi syarikat.
OCK bercadang mengambil alih 80% kepentingan dalam ECC daripada edotCo Group pada harga AS$81 juta, yang menilai keseluruhan syarikat berkenaan pada RM409.8 juta. Transaksi itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai pada separuh kedua 2027 (2H27).
Portfolio menara diperluas di lima negara
Sebelum pengambilalihan, portfolio menara OCK merangkumi 650 tapak di Malaysia; 3,600 tapak di Vietnam; 1,200 tapak di Myanmar dan 44 tapak di Laos.
Penambahan kira-kira 3,900 tapak ECC di Kemboja akan menjadikan negara itu menyumbang sekitar 41% daripada keseluruhan portfolio menara kumpulan. ECC mencatatkan hasil RM148.9 juta dan EBITDA RM117 juta bagi tahun kewangan 2025, dengan margin EBITDA sebanyak 79%.
RHB Research menyifatkan pengambilalihan itu positif kerana dijangka menyumbang kepada keuntungan OCK sejak awal, selain mengukuhkan perniagaan penyewaan menara kumpulan.
Keuntungan dijangka meningkat sehingga 22%
Berdasarkan andaian transaksi selesai pada 2H27 dan dibiayai menerusi hutang, RHB Research mengunjurkan keuntungan OCK bagi FY2028 hingga FY2029 meningkat antara 12% hingga 22%.
Firma penyelidikan itu turut melihat ruang peningkatan kadar penyewaan menara ECC yang ketika ini sekitar 1.5 kali, sekali gus menyokong pertumbuhan EBITDA. Ini berikutan perkhidmatan 5G di Kemboja baru dikomersialkan pada Januari 2026, seiring peluasan liputan rangkaian di negara itu.
ECC juga mempunyai tempahan sedia ada bagi pembinaan 600 tapak menara baharu, manakala OCK merancang mengoptimumkan lagi kadar penyewaan pada infrastrukturnya.
Bagaimanapun, pengambilalihan itu dijangka meningkatkan nisbah penggearan bersih OCK, termasuk liabiliti pajakan, kepada 2.3 kali berbanding 1.9 kali ketika ini.
Buku tempahan meningkat 27% kepada RM741 juta
Selain pengembangan perniagaan menara, RHB Research turut melihat prospek pertumbuhan OCK disokong pelaksanaan projek sedia ada dan kontrak baharu.
Buku tempahan tertunggak kumpulan meningkat 27% suku ke suku kepada kira-kira RM741 juta, sebahagian besarnya disumbangkan projek pemasangan gentian optik bandar pintar Selangor (Smartsel).
Projek Smartsel itu turut mempunyai nilai buku tender melebihi RM1 bilion setakat akhir Oktober 2026.
RHB Research menjangkakan keuntungan teras OCK bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY2027) meningkat 26% hingga 32% suku ke suku kepada RM12 juta hingga RM13 juta, atau lebih 100% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu dijangka disokong penukaran buku tempahan yang lebih tinggi menerusi projek penyelesaian digital termasuk bandar pintar dan kecerdasan buatan (AI), selain penyelesaian tenaga serta pengebilan berterusan projek Wi-Fi kampus.
RHB kekalkan saranan 'Beli', harga sasaran RM0.80
RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham OCK dengan harga sasaran RM0.80 sesaham berbanding harga pasaran RM0.37 ketika ini yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 119%.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih berulang OCK meningkat kepada RM42 juta pada FY2027, RM54 juta pada FY2028 dan RM64 juta pada FY2029 berbanding RM37 juta pada FY2026.
Perniagaan menara telekomunikasi menyumbang kira-kira 21% kepada hasil dan 54% kepada EBITDA OCK pada FY2026, sekali gus menjadi sumber pendapatan berulang yang penting kepada kumpulan.
Antara risiko utama yang dikenal pasti RHB termasuk prestasi keuntungan dan margin lebih rendah daripada jangkaan, peningkatan hutang serta kelewatan pelaksanaan projek. - DagangNews.com




