liza30/10/2026 - 10:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt – DXN Holdings Bhd dijangka mendapat sokongan tambahan terhadap keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2027 (3QFY27) menerusi pelarasan harga produk yang dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan DXN dijangka terus disokong permintaan produk yang stabil serta pengenalan lebih banyak produk kesihatan dan suplemen pemakanan (HDS) yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi.
RHB Research turut melihat ruang pertumbuhan dalam pasaran Amerika Latin khususnya Peru yang ketika ini hanya menawarkan kurang daripada 10 produk HDS daripada kira-kira 90 produk keseluruhan DXN.
Menurutnya, peluasan rangkaian produk HDS di pasaran itu, seiring kelulusan lebih banyak pendaftaran produk boleh meningkatkan pilihan pelanggan dan perbelanjaan pengguna sedia ada.
Pasaran Amerika Latin sokong jualan
“Dari segi prestasi operasi, pertumbuhan jualan di Peru, Bolivia dan India menjadi antara pemacu peningkatan hasil DXN pada suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27).
“Jualan di Bolivia mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 49.3% tahun ke tahun, diikuti Peru sebanyak 13.7% dan India 10.7%,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Pertumbuhan di Bolivia sebahagiannya dibantu pengukuhan mata wang tempatan, manakala peningkatan jualan secara suku ke suku di Peru dan Bolivia turut mendapat manfaat daripada pembelian awal pelanggan menjelang pelarasan harga produk.
Bagi 2QFY27, hasil DXN meningkat 5.3% kepada RM506.8 juta berbanding RM481.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih teras melonjak 29.9% kepada RM91.3 juta daripada RM70.3 juta.
Margin keuntungan kembali meningkat
Peningkatan keuntungan turut disokong margin EBITDA yang berkembang kepada 29.9% berbanding 28.3% setahun sebelumnya, hasil jualan lebih tinggi, pengurangan kerugian pertukaran mata wang asing serta penjimatan kos operasi.
Kerugian pertukaran mata wang asing DXN berkurangan kepada RM800,000 pada 2QFY27 berbanding RM6.5 juta dalam suku sama tahun sebelumnya. Kumpulan itu turut menikmati penjimatan kos sewaan pesawat sebanyak RM6.5 juta susulan penamatan penggunaan pesawat berkenaan pada Mei 2026.
Bagaimanapun, bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27), hasil kumpulan susut 1.1% kepada RM949.8 juta, manakala EBITDA turun 2.2% kepada RM269.5 juta.
Sebaliknya, keuntungan bersih teras meningkat 3.9% kepada RM149.8 juta, mewakili 51% daripada unjuran RHB Research dan 52% daripada anggaran konsensus bagi keseluruhan tahun kewangan 2027, sekali gus menepati jangkaan firma penyelidikan itu.
Peruntuk RM600 juta untuk pengembangan pengeluaran
Dalam perkembangan lain, DXN sedang membesarkan operasi pembuatan di Malaysia, Peru, Bolivia dan Maghribi dengan perbelanjaan modal dianggarkan kira-kira RM600 juta.
RHB Research berkata, pengembangan itu dijangka meningkatkan ketersediaan produk, memendekkan tempoh penghantaran serta mengurangkan kos rantaian bekalan kumpulan.
Kedudukan tunai bersih DXN sekitar RM484 juta turut memberikan fleksibiliti kewangan untuk menyokong rancangan pengembangan operasi dan pembayaran dividen.
Mengambil kira prospek berkenaan, RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham DXN dengan sasaran harga tidak berubah pada 55 sen, bersamaan potensi kenaikan kira-kira 18% berbanding harga saham 47 sen ketika laporan itu diterbitkan.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029, selain menjangkakan hasil dividen sekitar 8% bagi tahun kewangan 2028. - DagangNews.com






