Pengambilalihan Nova Pharma dijangka kukuhkan kepakaran projek pembinaan Southern Score - TA Securities

LocalBusiness & Finance
23 Dec 2025 • 10:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilalihan Nova Pharma dijangka kukuhkan kepakaran projek pembinaan Southern Score - TA Securities
image is not available
liza23/12/2025 - 10:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Dis – Southern Score Builders Bhd (SSB8) dijangka mendapat manfaat strategik dan kewangan daripada pengambilalihan kepentingan 33% dalam Nova Pharma Solutions Bhd (NPS), yang dilihat mampu mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen pembinaan bernilai tambah tinggi, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata pelaburan melalui anak syarikat milik penuhnya, Southern Score Builders Sdn Bhd (SSBB) itu merupakan langkah positif dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan di luar pembangunan hartanah tradisional.

 

Pada 22 Disember 2025, SSBB memeterai perjanjian jual beli saham tanpa syarat dengan pemegang saham utama dan Pengarah Eksekutif NPS Khoo Boo Wie untuk memperoleh 33% pegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan pada harga RM18.2 juta atau RM0.37 sesaham.

 

Pengambilalihan itu turut disokong jaminan keuntungan kumulatif minimum RM15 juta dalam tempoh 3.5 tahun kewangan, sekali gus memberikan kepastian terhadap pulangan pelaburan kumpulan.

 

Berikutan transaksi tersebut, SSBB telah mencetuskan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat ke atas baki saham NPS pada harga RM0.37 sesaham dengan hasrat untuk menswastakan dan menyahsenarai syarikat itu daripada Pasaran LEAP.

 

TA Securities menjelaskan tawaran berkenaan tidak tertakluk kepada syarat penerimaan minimum memandangkan SSBB bersama pihak yang bertindak secara bersama telah menguasai lebih 50% hak mengundi NPS, sekali gus meningkatkan kebarangkalian kejayaan penswastaan.

 

NPS terlibat dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan khusus bagi industri farmaseutikal dan bioteknologi, termasuk dokumentasi teknikal, pengesahan serta pelaksanaan projek daripada peringkat reka bentuk sehingga pentauliahan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Southern Score Builders tawar ambil alih baki 33% ekuiti Nova Pharma pada harga 37 sen sesaham

 

Firma penyelidikan itu berpandangan, kepakaran NPS dalam peringkat awal reka bentuk dan perancangan kemudahan farmaseutikal melengkapi kekuatan teras Southern Score dalam pengurusan pembinaan, penyampaian turnkey serta kerja mekanikal dan elektrikal.

 

“Gabungan keupayaan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek hujung ke hujung, mengurangkan risiko pematuhan kawal selia serta memperkukuh daya saing bidaan bagi projek yang memerlukan standard teknikal dan pengesahan yang tinggi.

 

“Selain itu, pengambilalihan ini dijangka membuka akses kepada pangkalan pelanggan baharu, khususnya dalam sektor farmaseutikal dan bioteknologi di Malaysia dan rantau ini, sekali gus menyumbang kepada kepelbagaian hasil Kumpulan,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Dari sudut penilaian, firma tersebut menganggap transaksi itu menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan tahunan sekitar 12.8 kali, berdasarkan jaminan keuntungan RM15 juta dan penilaian ekuiti tersirat NPS sebanyak RM55.1 juta.

 

“Sekiranya sasaran keuntungan dipenuhi, sumbangan NPS dianggarkan dapat meningkatkan pendapatan teras SSB8 sebanyak 2.8% pada FY26, diikuti 1.4% pada FY27 dan 1.2% pada FY28.

 

“Sehubungan itu, kami menyemak naik unjuran pendapatan teras kumpulan bagi FY26 hingga FY28 dan menaikkan sedikit harga sasaran SSB8 kepada RM0.81 daripada RM0.80 sebelum ini,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek SSB8 disokong keterlihatan pendapatan yang kukuh, buku pesanan belum bil yang mampan, pendedahan kepada segmen pusat data berpertumbuhan tinggi serta margin bersih dua digit yang berdaya tahan. - DagangNews.com

Terkini standard