liza27/10/2026 - 11:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt – Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) memulakan tindakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar kesahihan perlembagaan beberapa peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960.
Isu yang dibangkitkan ialah perlindungan hak pemilik tanah dan kuasa kerajaan mengambil harta persendirian secara paksa.
Gabungan NGO itu dalam satu kenyataan berkata cabaran tersebut mempersoalkan keadilan proses pengambilan tanah serta had kuasa kerajaan khususnya ketika masyarakat bandar berdepan risiko kehilangan kediaman susulan pembangunan dan pembangunan semula bandar.
Menurut kumpulan itu, tindakan berkenaan bertujuan memastikan kuasa pengambilan tanah dilaksanakan berdasarkan prinsip keadilan asasi, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang.
“Antara isu utama yang dibangkitkan ialah ketiadaan mekanisme pendengaran awal yang bermakna di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membolehkan pemilik tanah mengemukakan bantahan sebelum tanah mereka diambil.
“Kami berpendirian individu yang terjejas perlu diberikan peluang yang adil untuk mengemukakan alasan dan pandangan sebelum keputusan yang menjejaskan hak mereka dibuat,” katanya.
Prinsip keadilan asasi
Keadaan itu menimbulkan persoalan berkaitan prinsip keadilan asasi, iaitu seseorang perlu diberikan peluang yang sewajarnya untuk didengari sebelum hak mereka terjejas oleh sesuatu keputusan.
KLRA+SD turut merujuk Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seseorang tidak boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
Kumpulan itu juga mempersoalkan keserasian Seksyen 3(1) Akta Pengambilan Tanah 1960 dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang dan perlindungan undang-undang yang sama rata.
Persoal pengambilan tanah untuk kepentingan swasta
Selain proses pengambilan tanah, KLRA+SD turut mencabar perlembagaan Seksyen 3(1) akta berkenaan, yang menurutnya membenarkan pengambilan tanah secara paksa bagi tujuan termasuk memudahkan usaha niaga syarikat swasta.
Kumpulan itu menegaskan bahawa kuasa mengambil harta persendirian secara paksa sepatutnya digunakan untuk tujuan awam yang tulen atau kepentingan negara bukannya bagi memudahkan keuntungan sektor swasta atas alasan manfaat awam.
“Penggunaan kuasa pengambilan tanah tanpa perlindungan perlembagaan yang mencukupi boleh membawa kepada pelaksanaan kuasa secara berlebihan, tidak seimbang atau sewenang-wenangnya.
“Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang pematuhan peruntukan berkenaan terhadap prinsip kesaksamaan yang termaktub dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Mahu kerangka undang-undang lebih adil
KLRA+SD berkata pengambilan tanah secara paksa tidak seharusnya dianggap sebagai kuasa kerajaan tanpa batasan, sebaliknya perlu dilaksanakan melalui proses yang adil dan benar-benar memenuhi kepentingan awam.
Menurut kumpulan itu, perlindungan terhadap pihak yang terjejas tidak seharusnya tertumpu kepada pampasan kewangan semata-mata, tetapi turut merangkumi kerangka undang-undang yang menyeluruh dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Melalui cabaran itu, KLRA+SD mahu menegakkan kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta memastikan pelaksanaan kuasa pengambilan tanah berteraskan keadilan asasi, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang.
Kumpulan itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai langkah awal ke arah perbincangan yang lebih luas mengenai pembangunan semula bandar supaya pelaksanaannya benar-benar memenuhi kepentingan negara.
KLRA+SD turut memohon supaya mahkamah memberikan relif yang sewajarnya, termasuk pengisytiharan bahawa peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dicabar itu tidak sah. - DagangNews.com





