
KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO berharap mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan berlangsung esok dapat menghasilkan keputusan terbaik.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, pihaknya sentiasa mendoakan agar segala urusan berkaitan perkara itu berjalan dengan sebaik-baiknya.
“Mengharapkan yang terbaik dan kita sentiasa mendoakan agar dipermudahkan segalanya,” katanya dalam sidang media Pergerakan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mesyuarat pengampunan dijadualkan berlangsung esok bagi membincangkan isu berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Nurul Amal dalam ucapan dasarnya sebelum itu, turut menegaskan bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.
Katanya, kuasa berkenaan merupakan antara prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak seharusnya diperlekehkan atau dinafikan kewujudannya.
“Kuasa ini adalah antara prerogatif yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Justeru, memperlekeh atau menafikan kewujudan kuasa tersebut bermakna kita sedang mempersoalkan peruntukan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan itu sendiri,” katanya. – UTUSAN
The post Pengampunan Najib: Puteri UMNO harap keputusan yang terbaik appeared first on Utusan Malaysia.






