amree28/08/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos — IHH Healthcare Berhad mencatatkan prestasi kukuh bagi separuh pertama 2026, namun kelemahan operasinya di Singapura terus menjadi cabaran utama, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan, kumpulan itu berdepan isu ketika pasaran beralih kepada perkhidmatan kesihatan awam dan pemulihan jumlah pesakit bergantung kepada pakej rawatan yang lebih kompetitif.
Jelas dua firma berkenaan, prestasi negara jiran itu berbeza dengan momentum positif di Malaysia, Türkiye dan India, yang menyaksikan peningkatan pesakit, kadar intensiti hasil serta kawalan kos.
"Kami melihat banyak kelemahan IHH di Singapura semakin menunjukkan pemulihan, namun kadar operasi tersebut kekal menjadi antara faktor penting untuk dipantau para pelabur," jelas TA Securities.
Ujarnya, keuntungan bersih teras kumpulan bagi 1HFY26 naik 21.8% kepada RM1 bilion, dengan melepasi pertumbuhan hasil 8% kepada RM13.6 bilion, manakala margin kasar meningkat kepada 22.4%.
Pasaran Malaysia katanya, mencatatkan pertumbuhan 23% kepada RM689 juta, didorong peningkatan intensiti hasil, pertumbuhan pendapatan aktiviti penjagaan harian dan pelancongan perubatan.
IHH di Türkiye dan Eropah pula tambah TA Securities, merekodkan pertumbuhan 35% kepada RM974 juta dipacu pertumbuhan jumlah pesakit, kadar intensiti hasil serta kemajuan operasi hospital baharu.

"Di India, hasil kasar naik 1% kepada RM385 juta, namun operasi Singapura pula merosot 13% kepada RM750 juta berikutan peralihan struktur kepada penggunaan penjagaan kesihatan awam," katanya.
Justeru, ia menaikkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 sebanyak 7% dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM10.42 berbanding RM10.30, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).
Sementara itu, RHB Research menilai keputusan 1H26 melepasi jangkaan, dengan prestasi 2Q26 turut kukuh apabila keuntungan bersih IHH meningkat 36% tahun ke tahun (YOY) kepada sebanyak RM569 juta.
Menurutnya, pertumbuhan didorong prestasi di Malaysia dan Türkiye, namun kebimbangan terhadap operasi Singapura diambil kira dalam penilaian pasaran dengan kadar penghunian katil masih stabil.
"Susulan itu, kami menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 kepada 7%, selain menaik taraf saranan kepada 'beli' daripada 'neutral' dan TP turut dinaikkan kepada RM9.54 daripada RM9.30.
Secara keseluruhan, RHB Research melihat IHH berada pada kedudukan baik meneruskan pertumbuhan, tetapi risiko seperti pemulihan perlahan di Singapura dan kelembapan ekonomi sebagai cabaran.
Isu itu menjejaskan jumlah pesakit, inflasi kos, pemerolehan yang mahal serta turun naik mata wang kekal perlu dipantau di sebalik dividen interim pertama 5.5 sen sesaham bagi 1H26. - DagangNews.com





