amree28/08/2026 - 18:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Northern Solar Holdings Berhad mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi sejak penyenaraiannya pada Februari 2025, selain menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk berpindah daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1QFY27), hasil kumpulan meningkat 36.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM38.2 juta daripada RM28 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu turut melonjak 84.1% berbanding RM20.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), didorong peningkatan pelaksanaan projek ketika kumpulan memasuki tahun kewangan baharu.
"Segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovolta (PV) kekal pemacu utama apabila hasil naik 36.6% kepada RM37.4 juta, menyumbang 98.1% daripada keseluruhan," maklum Northern Solar kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, keuntungan kasar susut sedikit kepada RM10.5 juta daripada RM10.8 juta, manakala margin keuntungan kasar mengecil kepada 27.4% daripada 38.4% disebabkan perubahan campuran projek ke arah kontrak berskala lebih besar dengan margin peratusan lebih rendah.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagaimanapun meningkat kepada RM3.97 juta daripada RM3.8 juta, dengan pendapatan sesaham asas bertambah kepada 1 sen daripada 0.97 sen.
Fokus Kekal Kepada Pulangan
Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai berkata, peningkatan pelaksanaan projek mencerminkan kemasukan kumpulan ke fasa pertumbuhan baharu, dengan fokus kekal kepada pulangan mutlak, pelaksanaan berdisiplin dan pengurusan risiko projek.
Kedudukan kewangan kumpulan turut kekal kukuh dengan tunai dan baki bank sebanyak RM44.5 juta berbanding pinjaman RM9.6 juta, menghasilkan kedudukan tunai bersih RM34.9 juta dan nisbah penggearan rendah sebanyak 0.11 kali.
Northern Solar juga bercadang menilai peluang pembidaan yang bersesuaian di bawah program Solar Berskala Besar 6 (LSS6), yang menawarkan kapasiti penjanaan solar 2,500MW bersama 1,250MW Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Kumpulan itu akan turut memberi tumpuan kepada perniagaan solar komersial dan perindustrian, Solar ATAP, BESS dan projek solar berskala utiliti, selain terus mendapatkan kontrak EPCC baharu dan mengembangkan portfolio aset tenaga boleh diperbaharuinya.
Pengurusan menjangkakan prestasi keseluruhan FY2027 kekal memuaskan, disokong pelaksanaan buku pesanan sedia ada serta peluang pertumbuhan baharu, termasuk peralihan kumpulan ke Pasaran Utama selepas menerima kelulusan daripada SC. - DagangNews.com






