
SEREMBAN: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menganiaya anak perempuan tiri dan anak perempuan kandungnya sejak Julau lalu.
Tertuduh, Noor Asri Shafei, 35, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Kunasundary Marimuthu.
Selain itu, isterinya, Noorhayati Dollah, 44, mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama Noor Asri kerana sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagi dua lagi pertuduhan, Noor Asri didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun yang juga anak tirinya dan anak kandungnya berusia setahun.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Sungai Batang Labu, Kampung Jerangkang Darat, Nilai, antara 22 Julai hingga 12 Ogos lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Noor Asri diikat jamin RM19,000 manakala Noorhayati dibenarkan ikat jamin RM8,000.
Kedua-duanya turut dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman pada 21 September depan. – UTUSAN
The post Penganggur didakwa aniaya anak tiri, anak kandung appeared first on Utusan Malaysia.






