Penternak lembu didakwa tampar anak saudara sampai cedera

19 Aug 2026 • 4:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penternak lembu didakwa tampar anak saudara sampai cedera

MELAKA – Seorang penternak lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menampar muka anak saudaranya sehingga mangsa cedera, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Makhadzir Khan Zakariah, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak saudaranya berusia 34 tahun dengan cara memukul di bahagian muka mangsa sebanyak tiga kali sehingga cedera.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.25 tengah hari di Batu 8 ¼ Air Molek dalam daerah Melaka Tengah, 23 Januari 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan kejadian itu berlaku susulan perselisihan faham dalam keluarga.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang duda dan perlu menyara tiga orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan tarikh 23 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

The post Penternak lembu didakwa tampar anak saudara sampai cedera appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved