Bapa menangis rayu dibebaskan untuk cari duit bayar wang jaminan kes aniaya anak

19 Aug 2026 • 12:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa menangis rayu dibebaskan untuk cari duit bayar wang jaminan kes aniaya anak
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM19,000 bagi tiga pertuduhan terhadap Noor Asri manakala isterinya RM8,000.

SEREMBAN - Seorang lelaki menangis sambil merayu kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu supaya dibebaskan bagi membolehkannya keluar mencari wang untuk membayar jaminan berjumlah keseluruhan RM19,000 selepas didakwa menganiaya anak kandung dan tirinya.

Tertuduh, Noor Asri Shafei, 35, yang merupakan penganggur sebelum itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Datin M Kunasundary atas tiga pertuduhan.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun(anak tiri) dan kanak-kanak perempuan berusia setahun(anak kandung) didakwa menganiaya mereka dengan cara menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan bersama dengan isterinya Noorhayati Dollah, 44, yang turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama berusia 15 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Sungai Batang Labu, Kampung Jerangkang Darat di Nilai antara 22 Julai dan 12 Ogos 2026.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi RM50,00p atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan beserta beberapa syarat tambahan.

Nor Asri yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan yang rendah sekurang-kurangnya RM3,000 kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung anak yang ramai.

"Saya minta jaminan dikurangkan RM3,000, kerana ada tangunggan anak, saya orang susah dan tiada pekerjaan, kalau boleh lepaskan dan bebaskan saya untuk cari duit," katanya yang menangis dalam kamar mahkamah.

Dia turut memaklumkan kepada mahkamah tidak berniat memukul anaknya atau mendera, malah sanggup bersumpah.

Noorhayati pula dalam rayuannya turut memohon jaminan dikurangkan dan memberitahu mahkamah bertindak demikian kerana mahu mendidik anaknya yang tertekan selepas kematian bapa kandungnya dan kini tidak bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM19,000 bagi tiga pertuduhan terhadap Noor Asri manakala isterinya RM8,000 masing-masing dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali, tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman pada 21 September depan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved