
KLANG: Dua lelaki berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia pada 6 Ogos lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan, tertuduh, Muhd. Asnawi Ghazali, 37, dan Musa Ramli, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara bersama.
Pengakuan akan direkodkan selepas kes disebut di Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas dikenali sebagai ‘Kutek’ didakwa membunuh Suherman, 47, dalam sebuah rumah dekat Kampung Baru Telok Gong, di sini.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 pagi pada hari Khamis.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 27 November depan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh bersama seorang lelaki yang masih bebas itu didakwa membunuh dengan cara menyimbah petrol terhadap mangsa sebelum membakarnya. – UTUSAN
The post Dua lelaki berdepan hukuman mati appeared first on Utusan Malaysia.






