Penganggur tidak mengaku tikam isteri

12 Oct 2026 • 12:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penganggur tidak mengaku tikam isteri

KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya dan ibu mentuanya  di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kadok, Padang Lepai, Ketereh, minggu lalu.

Shahrul Shahrizal Che Saari,47, membuat pengakuan itu sejurus  selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan hakim Zulkifli Abllah dan Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Zulaiha Mat Zin,44, dengan cara menikam mangsa menggunakan senjata pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam pada 5 Oktober lalu di sebuah rumah di Lot 1229, belakang Sekolah Menengah Kadok, Padang Lepai, Ketereh, di sini. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 326 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan bagi kesalahan berkenaan, sekiranya kecederaan dilakukan terhadap pasangan atau bekas pasangan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ibu mentuanya, Paridah Ismail,78, pada masa dan lokasi yang sama. Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A akta yang sama .

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan. Pendakwaan dikendalikan oleh pihak Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan Siti Arina Razali manakala tertuduh diwakili penguam Zainal Abidin Mustaffa.

Pada masa sama, keluarga mangsa turut  melantik Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad sebagai peguam pemerhati. Terdahulu, Kamarul Hasyime dan Siti Arina tidak menawarkan sebarang jaminan ,anakala Zainal Abidin turut memohon jaminan tidak diberikan sebaliknya meminta anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri

“Saya juga memohon jaminan tidak diberikan memandangkan keluarga tertuduh dikhuatiri tidak mampu mengawal tertuduh disyaki mempunyai masalah mental. Dua minggu lalu, tertuduh ada berjumpa dengan saya dan mahu mencederakan dirinya,” katanya.

 Zainal Abidin turut memaklumkan bahawa dua adik-beradik tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang menerima rawatan.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (Tanjung Rambutan), Perak selama sebulan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri. Mahkamah turut menetapkan 18 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

 

The post Penganggur tidak mengaku tikam isteri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved