Pengangkutan awam bukan ruang peribadi

15 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengangkutan awam bukan ruang peribadi

Menaiki pengangkutan awam seperti tren dan bas sepatutnya menjadi pengalaman yang mudah dan selesa. Namun, dalam kesibukan mengejar masa, masih ada segelintir penumpang yang seolah-olah terlupa mereka berkongsi ruang dengan orang lain.

Antara perkara yang paling kerap berlaku ialah menonton video dengan suara yang kuat. Bukan semua orang mahu mendengar apa yang ditonton, apatah lagi ketika berada dalam tren atau bas yang penuh sesak. Kalau tidak menggunakan fon telinga, sekurang-kurangnya rendahkanlah sedikit suara. Pengangkutan awam bukan pawagam bergerak.

Begitu juga ketika masuk ke dalam tren atau bas. Ada yang sudah menunggu lama, tetapi apabila pintu dibuka, terus berebut masuk tanpa menghiraukan barisan. Sedangkan mudah sahaja, beri peluang kepada penumpang yang mahu keluar terlebih dahulu sebelum kita masuk.

Kemudian ada pula jenis yang menganggap satu kerusi sebagai milik peribadi. Beg diletakkan di sebelah walaupun ramai penumpang sedang berdiri. Apabila ada yang mahu duduk, buat-buat tidak nampak atau sengaja membiarkan beg itu di situ. Kalau tempat duduk memang kosong dan ada orang memerlukan, alihkanlah beg. Ringkas, tetapi besar maknanya.

Tidak kurang juga yang bercakap telefon dengan suara yang begitu kuat sehingga satu gerabak boleh mendengar ceritanya. Kita faham mungkin ada urusan penting, tetapi tidak salah untuk bercakap dengan nada sederhana.

Namun, yang paling menguji kesabaran ialah penumpang yang duduk atau berdiri betul-betul di hadapan pintu dan enggan berganjak ketika orang mahu masuk. Lebih menyakitkan hati apabila sebenarnya masih ada ruang di dalam, tetapi dia tetap tidak mahu bergerak. Akhirnya, penumpang di luar terpaksa mengalah dan menunggu tren atau bas seterusnya.

Kadangkala, kita terlalu selesa dengan dunia sendiri sehingga lupa orang di sekeliling. Menjaga adab dalam pengangkutan awam tidak memerlukan usaha besar. Rendahkan suara, beratur, beri tempat kepada yang memerlukan dan bergerak sedikit jika menghalang laluan.

Mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi sikap saling bertimbang rasa inilah yang boleh menjadikan perjalanan semua orang lebih selesa. Lagipun, kita semua mahu sampai ke destinasi dengan tenang, bukan dengan hati yang panas.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

The post Pengangkutan awam bukan ruang peribadi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved