SHAH ALAM - Penganjur Festival Memancing Agro Selangor @ Shah Alam 2026 memohon maaf susulan kontroversi pelepasan ikan patin Siam di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam di sini pada Ahad lalu.
Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah melepaskan ikan baung dan ikan patin sebagai persediaan bagi pertandingan memancing yang akan diadakan pada 26 Julai ini, namun menerima teguran dan penjelasan daripada pihak berautoriti.
"Kami dimaklumkan ikan patin yang dilepaskan dikenal pasti sebagai patin Siam iaitu spesies ikan asing dan bukannya spesies tempatan seperti maklumat diterima ketika proses perolehan ikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut penganjur, pihaknya menerima segala teguran dan pandangan dengan hati terbuka serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan yang berlaku.
"Kami amat menghargai keprihatinan semua pihak dalam memastikan ekosistem Tasik Barat terus terpelihara," ujarnya.
Menurut kenyataan itu, selaras arahan Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor beberapa tindakan segera akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko terhadap ekosistem tasik.
"Antaranya ialah memasang jaring di semua laluan keluar dan masuk air Tasik Barat bagi menghalang patin siam daripada keluar ke sistem perairan lain.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, penganjur akan melaksanakan aktiviti penyisihan sepenuhnya menggunakan kaedah pemasangan jaring dari hujung ke hujung tasik bagi menangkap, mengenal pasti dan mengeluarkan ikan patin siam daripada tasik berkenaan.
Katanya, jika peserta pertandingan berjaya menaikkan patin siam, ikan itu akan dikeluarkan dan tidak akan dilepaskan semula ke dalam tasik.
Penganjur turut memaklumkan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menjalankan pemantauan serta tindakan susulan, selain menambah baik prosedur pemilihan spesies ikan dengan mendapatkan pengesahan teknikal daripada agensi berkaitan sebelum sebarang pelepasan dilakukan pada masa depan.
Festival Memancing Agro Selangor @ Shah Alam 2026 dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam.
Program julung kali itu dianjurkan bersama Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor serta MBSA dengan kerjasama Ummah Care dan 1StopFishing Malaysia bagi mempromosikan Agro Selangor serta industri perikanan negeri di samping menggalakkan aktiviti rekreasi dan mengeratkan hubungan komuniti menerusi sukan memancing.
Bagaimanapun, majlis pelepasan ikan yang diadakan pada 12 Julai lalu sebagai gimik pembukaan festival itu mencetuskan kontroversi selepas didakwa membabitkan pelepasan ikan patin siam, iaitu spesies ikan asing, ke Tasik Barat.






