Penganjuran RXZ Members 7.0 dijangka jana RM50 juta pulangan ekonomi kepada Terengganu

22/08/2025 - 09:25
Penganjuran RXZ Members 6.0 tahun 2024 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 22 Ogos – Penganjuran program tahunan RXZ Members 7.0 yang bermula hari ini dijangka menjana limpahan ekonomi antara RM40 juta hingga RM50 juta di Terengganu menerusi kehadiran lebih 100,000 peminat motosikal tersebut ke negeri itu.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, anggaran kasar itu dibuat berdasarkan perbelanjaan purata setiap peserta yang hadir bersama rakan dan keluarga meliputi kos penginapan, makanan, pembelian barangan yang melibatkan ramai pemilik perniagaan kecil dan sederhana.
“Kita anggarkan seorang peserta berbelanja kira-kira RM400 hingga RM500 untuk makan minum, penginapan hotel atau homestay serta membeli barangan cenderahati, jumlah keseluruhannya mencecah RM50 juta, malah sebenarnya ramai yang berbelanja lebih dari jumlah itu,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.
Bertempat di Litar Permotoran Gong Badak, acara permotoran terbesar di Malaysia itu dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat dan pemilik Yamaha RXZ dari seluruh negara termasuk dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah Bual Bicara RXZ Members Bersama Ustaz Azhar Idrus, pameran permotoran, gerai makanan dan barangan serta hadiah cabutan bertuah dengan tajaan umrah sebagai hadiah utama.

Acara tersebut bermula pada tahun 2017 dan semakin mendapat sambutan hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi ikon baharu pelancongan sukan bermotor di Terengganu.
Mohamad Faizal berkata, RXZ Members berkembang daripada sekadar perhimpunan kecil komuniti motosikal kepada acara berskala mega yang mendapat sokongan kerajaan serta pemain industri pelancongan.
“RXZ mempunyai sejarah panjang di Malaysia. Ia dilancarkan pada awal 1980-an dan menjadi kegilaan anak muda sehingga awal 2000-an. Walaupun pengeluarannya dihentikan, aura RXZ tidak pernah padam,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025, sekali gus mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran dalam merancakkan pelancongan domestik
Sementara itu, pemilik homestay, Juliana Hassan berkata, semua 10 unit kediaman yang dikendalikannya telah habis ditempah pengunjung RXZ Members sejak enam bulan lalu.
“Saya menguruskan dua unit villa, dua chalet dan lapan bilik. Semuanya telah habis ditempah dan rakan usahawan lain juga berkongsi perkembangan sama.
“Walaupun terdapat sedikit peningkatan harga, semua bilik yang diiklankan pengusaha homestay di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang memang menjadi rebutan,” katanya. - DagangNews.com
standard


