Pengantin tidak buka mulut, yang tiada kena-mengena pula berbunyi – Aznil Nawawi

Entertainment
22 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengantin tidak buka mulut, yang tiada kena-mengena pula berbunyi – Aznil Nawawi

KUALA LUMPUR: Pengacara dan selebriti, Datuk Aznil Nawawi meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan pasangan selebriti, Bella Astillah dan Syed Saddiq bagi mengendalikan majlis perkahwinan mereka susulan komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Aznil berkata, ketidakhadirannya ke majlis perkahwinan pasangan itu turut mengundang persoalan pengguna media sosial di Threads, sekali gus mendorongnya menjelaskan perkara sebenar.

“Pengantin tak buka mulut, tapi yang tak ada kena-mengena dengan keluarga pengantin pula kenapa berbunyi?” katanya.

Mengulas lanjut, Aznil yang mesra disapa Pak Nil berkata, dia bukan sahaja menerima jemputan untuk menghadiri majlis berkenaan, malah turut diminta oleh Bella dan Syed Saddiq untuk bertindak sebagai pengacara.

Bagaimanapun, pelakon filem Cicakman itu terpaksa menolak permintaan berkenaan kerana mempunyai komitmen lain yang berlangsung pada waktu sama.

“Saya tak berkelapangan untuk hadir dan sebenarnya wakil daripada Syed Saddiq dah jemput saya sebelum kalian tahu tarikh perkahwinan mereka lagi.

“Cuma saya tak berkelapangan semasa pernikahan dan juga resepsi kerana saya ada majlis sendiri. Dan dalam waktu yang sama juga, sebenarnya saya dipancing juga untuk menjadi hos majlis perkahwinan tetapi saya berasa ralat kerana tak dapat tunaikan,” katanya.

Aznil berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Show Ada Kelas bersama Icon Entertainment di Shook Restaurant, JW Marriott Kuala Lumpur, semalam.

Sehubungan itu, Pak Nil menasihati orang ramai supaya tidak menjadikan kehadiran atau ketidakhadiran seseorang ke majlis perkahwinan sebagai isu kerana setiap individu mempunyai komitmen tersendiri.

Menurutnya, perkara berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Kenapa kita nak bertanya kenapa orang tu datang, kenapa orang tu tak datang, kan? Semua mempunyai agenda tersendiri. Yang penting kita doakan perkahwinan serta kebahagiaan mereka.

“Pengantin tak buka mulut, jadi yang tak ada kena-mengena dengan keluarga pengantin dan pengantin ini, kenapa berbunyi? Sekian, terima kasih,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Threads mempersoalkan ketidakhadiran Aznil ke majlis perkahwinan Bella dan Syed Saddiq, malah mendakwa pengacara itu mungkin tidak dijemput oleh pasangan yang dikenali sebagai BASS berkenaan.

Untuk rekod, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Majlis resepsi pasangan itu kemudian berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu.

The post Pengantin tidak buka mulut, yang tiada kena-mengena pula berbunyi – Aznil Nawawi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved