
KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran pada majlis perkahwinan pelakon Bella Astillah dan suami, Syed Saddiq menjadi persoalan, pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi menjelaskan ketiadaannya disebabkan komitmen kerja yang bertindih.
Dalam masa sama, Aznil, 63, meluahkan rasa kesal apabila terpaksa melepaskan peluang mengacarakan majlis perkahwinan pasangan popular itu.
“Pengantin tak buka mulut, tapi yang tak ada kena-mengena dengan keluarga pengantin kenapa berbunyi?”
“Saya tak berkelapangan untuk hadir dan sebenarnya wakil daripada Syed Saddiq dah jemput saya sebelum kalian tahu tarikh perkahwinan mereka lagi.
“Cuma saya tak berkelapangan semasa pernikahan dan juga resepsi kerana saya ada majlis sendiri dan dalam waktu yang sama juga, sebenarnya saya dipancing untuk menjadi hos majlis perkahwinan tetapi saya berasa ralat kerana tak dapat tunaikan,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media program Show Ada Kelas, semalam.
Dalam masa sama, pengacara program realiti Akademi Fantasia itu turut menyelar pihak luar yang terlalu sibuk mempertikaikan kehadiran tetamu undangan.
“Kenapa kita nak bertanya sama ada orang itu datang atau tak? Semua mempunyai agenda tersendiri.
“Yang penting kita doakan perkahwinan serta kebahagiaan mereka.
“Pengantin tak buka mulut, jadi yang tak ada kena-mengena, kenapa berbunyi?,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, seorang individu mempersoal ketidakhadiran Aznil ke majlis perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq dalam Threads.
Dakwa individu terbabit, ketidakhadiran Aznil kemungkinan disebabkan tidak dijemput pasangan yang terkenal dengan gelaran BASS itu.
Untuk rekod, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Majlis resepsi mereka berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu.
Dalam perkembangan lain, Aznil atau mesra disapa Pak Nil bakal mengadakan sebuah program Show Ada Kelas yang akan menggabungkan perkongsian ilmu, demonstarasi, latihan praktikal dan elemen hiburan.
Program pembangunan modal insan yang dijadual berlangsung pada 28 November depan bertempat di Plenary Theatre, KLCC mengetengahkan komunikasi sebagai kemahiran yang boleh dipelajari, dilatih dan dipertingkatkan, bukan sekadar bakat semula jadi atau kebolehan bercakap di hadapan khalayak. – KOSMO! ONLINE
The post Pengantin tak buka mulut, kenapa kalian berbunyi? – Aznil Nawawi appeared first on Kosmo Online.






