
MELAKA – Seorang pengarah syarikat percetakan direman selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan mereka bentuk, mencetak dan membekal buku ‘coffee table’ membabitkan bekas pemimpin tertinggi negeri ini berjumlah kira-kira RM100,000, pada 2021.
Perintah reman selama lima hari sehingga 22 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek yang berusia 60-an selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di Mahkamah Ayer Keroh.
Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021.
“Suspek dipercayai bukan sahaja telah mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran buku ‘coffee table’ tersebut yang mengandungi butir matan palsu tetapi pembekalan yang dilakukan juga tidak sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post Pengarah syarikat disyaki kemuka dokumen palsu babit bekas pemimpin Melaka appeared first on Kosmo Digital.





