
MELAKA: Seorang pengarah syarikat percetakan direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu berkaitan perkhidmatan mereka bentuk, mencetak dan membekal buku coffee table membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka bernilai kira-kira RM100,000.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pagi ini.
Suspek direman sehingga 22 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2021. Suspek dipercayai bukan sahaja mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran buku coffee table berkenaan yang mengandungi butiran matan palsu, malah pembekalan yang dilakukan juga tidak sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan berkaitan dengan perbuatan mengemukakan dokumen atau akaun yang mengandungi pernyataan atau butiran palsu, silap atau tidak lengkap dengan niat memperdayakan prinsipal. – UTUSAN
The post Pengarah syarikat direman lima hari, disyaki kemuka dokumen palsu RM100,000 appeared first on Utusan Malaysia.






