
Pengarah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana menggunakan perjanjian sewa palsu bagi kuota pekerja asing.
KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat katering dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan dokumen perjanjian penyewaan palsu bagi permohonan kuota pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) Jabatan Imigresen (JIM).
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat PSSB Holdings (M) Sdn Bhd Chua Keng Hiang, 73, mengaku bersalah, juga memerintahkan dia dipenjarakan enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Warga emas itu dituduh secara tidak jujur menggunakan dokumen perjanjian penyewaan palsu antara syarikat PSSB Holdings dan pemilik premis Goh Leong Han, 65, bertarikh 1 Julai 2021 yang diketahuinya palsu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Pekerja Asing, JIM Kuala Lumpur, Kompleks Kementerian Dalam Negeri dekat sini pada 5 Julai 2023 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, dokumen penyewaan palsu sebuah unit milik Goh di Jalan Padang Walter Grenier, Off Jalan Imbi di sini digunakan sebagai dokumen sokongan dalam permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan kepada JIM.
JIM yang mempercayai dokumen itu tulen telah meluluskan kuota enam pekerja asing tanpa izin bagi sektor perkhidmatan kepada syarikat PSSB Holdings sebelum semakan lanjut mendapati dokumen itu dipalsukan.
Siasatan mendapati Goh selaku pemilik premis menafikan pernah menurunkan tandatangan atau membuat sebarang perjanjian sewa dengan syarikat milik Chua.
Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira faktor kesalahan berkait dengan keselamatan, iaitu kemasukan warga asing ke Malaysia.
“Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya.
Peguam Michelle Tan yang mewakili Chua memohon hukuman denda minimum kerana warga emas itu menghidap pelbagai penyakit termasuk dementia peringkat awal, kanser prostat dan sakit jantung.
“Anak guam memohon maaf atas kesalahan itu dan menyesal akan perbuatannya. Dia berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” katanya.






