Pengaruh melalui teladan, bukan kuasa dan jawatan

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengaruh melalui teladan, bukan kuasa dan jawatan

KETELADANAN ialah bahasa kepimpinan yang tidak memerlukan penterjemah. Ada yang memiliki jawatan, kuasa menandatangani arahan dan kuasa menentukan nasib orang lain tetapi apabila bercakap tiada siapa benar-benar mendengar.

Menelusuri perkembangan politik semasa tanah air hari ini, memperlihatkan perbezaan pandangan dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ia sekali gus membuka ruang kepada pemimpin kerajaan dikritik secara terbuka bukan sahaja daripada kelompok masyarakat, malahan daripada parti komponen yang membentuk kerajaan itu sendiri.

Sifir politik demokrasi berparlimen Malaysia ini mudah, menang 112 kerusi Parlimen, anda boleh membentuk kerajaan. Namun, angka majoriti bukan segala-galanya. Lihat sahaja bagaimana ‘uniknya’ Kerajaan Perpaduan ini terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Segala-galanya bergantung kepada Ahli Parlimen yang menyokongnya terus memberikan kepercayaan. Apabila kepercayaan mula berubah, angka majoriti juga boleh berubah. Bukan sekadar kira-kira matematik jumlah kerusi tetapi juga permainan keyakinan, kesetiaan, rundingan dan pengaruh.

Kuasa boleh diberikan melalui jawatan, tetapi pengaruh perlu dibina melalui kepercayaan.

Pemimpin yang hanya bergantung kepada kuasa biasanya mempunyai ramai pengikut di atas kertas, namun belum tentu mempunyai pengikut setia. Arahan mungkin dilaksanakan kerana takut kepada hukuman, kehilangan jawatan atau tekanan.

Kepatuhan yang lahir daripada ketakutan tidak akan menghasilkan kesetiaan yang kukuh. Apabila kuasa itu hilang, pengikut juga mungkin pergi bersama kuasa tersebut.

Dunia hari ini pun sudah makin berubah. Penulis melihat jika 15 tahun dahulu, seorang menteri hanya berdepan soalan wartawan pada sidang media. Kini, dari ketika mata celik sehingga sudah terpejam tidur pun, kenyataan anda dinilai, dipersoal dan diperdebat.

Kritikan terhadap kerajaan juga boleh berkembang dalam masa beberapa jam. Maka, kepimpinan moden memerlukan lebih daripada kemampuan menjawab kritikan, ia memerlukan kemampuan mendengar, menerangkan dan meyakinkan.

Terdapat satu pengajaran penting, pengaruh yang sebenar tidak boleh dipaksa. Ia perlu dibina bertahun-tahun.

Jawatan boleh datang dan pergi, kuasa boleh bertukar tangan, namun reputasi yang dibina melalui kerja, disiplin dan keteladanan boleh bertahan lama.

Isnin lalu, negara melalui episod duka selepas kita kehilangan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. Banyak kisah-kisah hebat dikongsikan di media sosial mengenai keperibadian beliau.

Tun Dr. Siti Hasmah bukti hidup bahawa seseorang tokoh awam boleh terus mempunyai soft power walaupun tidak memegang kuasa politik secara langsung. Al-Fatihah buat Tun.

The post Pengaruh melalui teladan, bukan kuasa dan jawatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved