‘Terserah PM dan parti tentukan kedudukan saya’

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 8:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Terserah PM dan parti tentukan kedudukan saya’

PETALING JAYA: Timbalan Se­tiausaha Agung DAP, Steven Sim Chee Keong menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti untuk menentukan kedudukannya sekiranya jawatan Menteri Pengangkutan perlu dipangku susulan hasrat Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan.

Sebaliknya, Steven Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tumpuannya ketika ini adalah memastikan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027.

Katanya, soal pelantikan pemangku Menteri Pengangkutan bukan bidangnya kerana perkara itu merupakan budi bicara Perdana Menteri selepas mene­rima cadangan daripada parti.

“Fokus saya sekarang adalah kerja-kerja di kementerian khususnya menjayakan sektor PMKS dan koperasi dalam Belanjawan 2027.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengharapkan dana yang lebih besar untuk PMKS Malaysia, kos perniagaan yang lebih rendah dan kecekapan kerajaan yang lebih tinggi.

“Perkara-perkara lain, biar Perdana Menteri dan Setiausaha Agung DAP yang buat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan yang memetik sumber mengenai kemungkinan dirinya memangku jawatan Menteri Pengangkutan sekiranya Anthony Loke meneruskan hasrat meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet.

Setakat semalam, Anwar me­ngesahkan beliau masih belum menerima surat peletakan jawatan Anthony Loke dan berkata, ‘tunggu surat’ sebelum kedudukan Setiausaha Agung DAP itu dapat ditentukan.

Anthony Loke sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September.

Beliau berkata keputusan itu dibuat sebagai pendirian parti susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN.

The post ‘Terserah PM dan parti tentukan kedudukan saya’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved