
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyambut baik pemeteraian perjanjian CSA yang menurutnya merangkumi tiga komitmen utama bagi memperkukuh reformasi dan kestabilan negara.
Menerusi hantaran di Facebook petang ini, beliau berkata perjanjian itu dimeterai selepas lebih lapan sesi rundingan bersama kerajaan sejak 2023.
Menurutnya, komitmen pertama ialah memisahkan pelantikan Pendakwa Raya daripada kuasa Perdana Menteri bagi mengelakkan institusi berkenaan disalahgunakan untuk melindungi pihak tertentu atau mengambil tindakan terhadap lawan politik.
“Kawan atau lawan, semua mesti ikut undang-undang,” katanya.
Syed Saddiq berkata, beliau sendiri terlibat dalam Jawatankuasa Khas yang merundingkan reformasi berkenaan selama enam bulan dan akan menyokong pindaan itu apabila dibentangkan di Parlimen.
Komitmen kedua pula melibatkan cadangan mengehadkan tempoh seseorang Perdana Menteri kepada dua penggal, tanpa mengira parti politik yang diwakilinya.
Beliau berkata had berkenaan perlu terpakai kepada sesiapa sahaja yang memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.
Sementara itu, komitmen ketiga ialah memastikan peruntukan yang adil diberikan kepada kawasan Parlimen pembangkang.
Syed Saddiq berharap Muar dapat menerima semula peruntukan kebajikan yang menurutnya telah lama dinantikan penduduk kawasan berkenaan.
Katanya, rakyat berhak mendapat bantuan tanpa mengira pilihan politik masing-masing.
Beliau turut menggesa supaya pemberian peruntukan secara adil itu dimaktubkan dalam undang-undang bagi memastikan dasar berkenaan terus dipatuhi oleh kerajaan akan datang.
“Bagi Muar, seperti biasa, 100 peratus ketelusan dan 100 peratus akauntabiliti,” katanya.
Dalam hantaran sama, Syed Saddiq merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Tengku Zafrul atas usaha menjayakan perjanjian berkenaan.
Baca juga:Beliau berkata, perbezaan parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.






