Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Video tular memaparkan seorang lelaki didakwa mengasari serta mengugut seorang wanita yang dipercayai ibunya menggunakan objek tajam di hadapan sebuah pejabat zakat di Sungai Petani kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.
Rakaman berdurasi beberapa saat itu telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang melihat wajah wanita itu penuh kesayuan dan hanya berdiri sambil menggengam tangan ketika anaknya bercakap dengan nada tegas.
Susulan video itu, Pegawai Zakat Daerah Kuala Muda, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin mengesahkan pihaknya telah dikunjungi polis bagi mendapatkan maklumat berhubung insiden berkenaan.

Menurut beliau, urusan melibatkan lelaki terbabit bersama ibunya di pejabat zakat sebelum kejadian berlangsung dalam keadaan baik tanpa sebarang insiden yang mencurigakan.
Katanya, lelaki berusia lingkungan 30-an itu merupakan anak tunggal kepada wanita berusia 50-an yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) mental.
“Kehadiran kedua-dua beranak ke pejabat zakat bertujuan menghantar sebut harga bagi kerja-kerja membaiki rumah mereka di Kampung Segantang Garam, Merbok yang akan kami mulakan tidak lama lagi,” jelasnya.
Artikel berkaitan: Foto Tentang Kasih Sayang Antara Ibu Bapa dan Anak Buat Ramai Netizen Tersentuh
Artikel berkaitan: Lelaki Pukul Ibu Bapa Di Tempat Awam Kerana Hadiahkan Rumah “Terlalu Kecil”
Mengulas dakwaan kekasaran tersebut, Ahmad Mustaqim berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis kerana terdapat satu laporan dibuat oleh pengadu yang melihat kejadian itu.
Pihaknya turut bersedia memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Mustaqim memaklumkan pihak zakat telah meluluskan bantuan membaik pulih kediaman keluarga terbabit yang berada dalam keadaan daif.
“Selain bantuan baik pulih, pemantauan juga akan dilakukan dari masa ke semasa selain meminta penolong amil di kawasan berkenaan menasihati dan memantau bagi memastikan keluarga ini sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
Difahamkan, lelaki berkenaan telah ditahan pihak berkuasa sementara ibunya dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.







