
SHAH ALAM, 6 SEPT: Seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di kepala, bahu kanan dan patah kaki kiri selepas terjatuh dari pokok ketika mengambil buah-buahan di Gunung Berembun, di sini, petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampangan digerakkan ke lokasi, lapor Berita Harian.
Menurutnya, mangsa berada kira-kira lima kilometer dari Pos Pendaftaran Perhutanan dan tidak mampu meneruskan perjalanan turun ke kaki bukit akibat kecederaan dialami.
“Maklumat awal memaklumkan seorang lelaki cedera di bahagian kepala selepas terjatuh dari pokok berhampiran lata Gunung Berembun.
“Komander operasi memulakan pendakian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 3.05 petang dengan bantuan orang awam,” katanya.
Beliau berkata bantuan tambahan daripada Pasukan Khas Unit STORM turut diperlukan berikutan keadaan mangsa yang cedera parah.
Katanya, mangsa ditemui dan diberikan rawatan awal pada jam 4.40 petang sebelum dibawa turun ke kaki bukit.
“Mangsa mengalami kecederaan di kepala, bahu kanan serta patah kaki kiri sebelum diserahkan kepada petugas ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.55 petang.





