amree14/09/2026 - 10:50 Gambar DagangNews.com / Mohd Naim Firdaus Aziz Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — Keadaan stabil pasaran buruh di Malaysia masih gagal mengimbangi pertumbuhan jualan runcit yang semakin lemah pada Julai 2026, menurut analisis Phillip Capital.
Firma tersebut berkata, nilai jualan hanya tumbuh 6.4% tahun ke tahun (YoY) pada bulan berkenaan susut daripada 6.6% YoY pada Jun 2026, menunjukkan momentum perbelanjaan pengguna berdepan cabaran.
Ujarnya, kadar pengangguran kekal rendah dan jumlah pekerjaan terus meningkat keadaan pasaran buruh berdaya tahan dilihat masih belum merangsang aktiviti jualan runcit yang sepatutnya lebih positif.
"Kami namun yakin pertumbuhan gaji akan terus menjadi sokongan penting bagi kegiatan peruncitan dan perdagangan borong, selain mengekalkan pertumbuhan penggunaan swasta," jelas nota Phillip Capital.
Dari segi nilai jualan, kedai bukan khusus seperti pasar raya, pasar raya besar dan kedai serbaneka kekal sebagai penyumbang utama dengan pertumbuhan naik kepada 7.2% YoY daripada 7.0% pada Jun 2026.
Segmen barangan lain dalam kedai khusus, termasuk pakaian, kasut, barang kemas dan barangan optik, turut mencatat pertumbuhan yang kukuh untuk bulan kedua berturut-turut, meningkat kepada 7.6% YoY.
Sebaliknya ujar Phillip Capital, pertumbuhan jualan peralatan isi rumah seperti perabot, barangan elektrik dan perkakasan terus sederhana untuk bulan kelima berturut-turut kepada 3.1% YoY.

"Secara kumulatif, nilai jualan runcit dari Januari hingga Julai 2026 naik 6.8% YoY, berbanding 5.8% dalam tempoh sama tahun lalu, menunjukkan permintaan pengguna masih berkembang," katanya.
Berdasarkan jumlah jualan pula, pertumbuhan perdagangan runcit keseluruhan sederhana kepada 4.1% daripada 4.2% pada Jun 2026, dengan kedai bukan khusus adalah kekal sebagai penyumbang utama.
Pertumbuhan perdagangan borong ujar Phillip Capital, terus mengatasi jualan runcit, dipercayai disokong aktiviti borong petrol, diesel dan pelincir susulan harga minyak global yang kekal tinggi.
Dalam segmen kenderaan bermotor, pertumbuhan didapati lebih sederhana dengan nilai jualan naik 7.9% YoY dan jumlah jualan meningkat 6.2% YoY, yang dipacu peningkatan jualan kereta serta motosikal.
"Selain itu, kami mendapati situasi ekonomi semasa turut menyaksikan kadar pengangguran Malaysia kekal rendah pada 3.0% pada Julai 2026, manakala jumlah pekerjaan terus meningkat," tambahnya.
Pertumbuhan gaji sektor pembuatan namun sedikit susut kepada 2.8% YoY daripada 3.1% pada Jun 2026, dan dijangka kembali kukuh dalam beberapa bulan lagi sejajar dengan perkembangan sektor pembuatan.
Secara keseluruhan jelas Phillip Capital, kestabilan pekerjaan dan pertumbuhan gaji dijangka menyokong jualan runcit meskipun momentum pertumbuhan ketika ini semakin sederhana. - DagangNews.com




