Pengeluar sarung tangan Malaysia berpotensi raih manfaat selepas EU kecualikan China daripada tender awam, kata CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 12:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluar sarung tangan Malaysia berpotensi raih manfaat selepas EU kecualikan China daripada tender awam, kata CIMB Securities

image is not available

23/06/2025 - 12:46

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pengeluar sarung tangan Malaysia berpotensi meraih manfaat daripada langkah Kesatuan Eropah (EU) yang mengecualikan syarikat China daripada menyertai tender awam bagi peranti perubatan bernilai lebih €5 juta (RM24.5 juta).

CIMB Securities berkata, pengecualian itu boleh membawa kepada pertambahan permintaan daripada pembeli EU yang sedang mencari alternatif selain sarung tangan dari China.

Katanya, EU merupakan pasaran eksport sarung tangan kedua terbesar Malaysia pada 2023, menyumbang kira-kira 28% hingga 30% daripada jumlah eksport sarung tangan Malaysia.

"Tindakan ini akan mengehadkan akses syarikat China kepada perbelanjaan awam EU sekitar €150 bilion setahun dalam segmen ini.

“Walaupun tender melebihi €5 juta hanya merangkumi kira-kira 4% daripada jumlah bilangan tender pada 2023, ia mewakili sekitar 60% daripada nilai keseluruhan tender,” katanya dalam satu nota kajian.

Langkah itu diambil sebagai reaksi selepas syarikat-syarikat EU tidak mendapat akses yang adil di China, memandangkan tender di China sangat memihak kepada pembekal tempatan yang sering mengemukakan bidaan pada harga yang terlalu rendah, kata CIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, turut menekankan kontrak jualan sarung tangan kebiasaannya bersifat jangka pendek dan bernilai lebih rendah, disebabkan perubahan kerap dalam harga jualan purata (ASP) serta mekanisme pemindahan kos yang digunakan oleh pemain industri.

Akibatnya, majoriti pesanan sarung tangan adalah di bawah paras €5 juta, atau kira-kira 287 juta helai, berdasarkan ASP sebanyak AS$20 bagi setiap 1,000 helai.

“Selain itu, kami percaya pengeluar sarung tangan China berkemungkinan menyusun semula kontrak mereka di EU dengan memecahkan pesanan besar kepada beberapa bahagian kecil bagi kekal di bawah ambang jualan €5 juta, sekali gus mengurangkan kesan sekatan perolehan ini,” katanya.

CIMB Securities berkata, sebarang peningkatan dalam permintaan sarung tangan dari EU bagi negara-negara lain termasuk Malaysia hanya akan bersifat sementara, iaitu antara tiga hingga enam bulan, memandangkan EU dan China telah menyatakan kesediaan untuk berunding.

Rundingan itu dijangka berlangsung semasa Sidang Kemuncak EU-China yang dijadualkan pada Julai ini.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor tersebut disebabkan cabaran yang berterusan, seperti persekitaran operasi yang sukar dengan permintaan jualan yang lemah, serta kos yang lebih tinggi susulan kenaikan terkini dalam cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta gaji minimum.

Pilihan utama CIMB bagi sektor ini ialah Kossan Rubber Industries Bhd sementara mengekalkan saranan “pegang” ke atas Top Glove Corporation Bhd, Hartalega Holdings Bhd dan Supermax Corporation Bhd. - DagangNews.com

standard