Public Bank dianggar tidak berdepan impak besar daripada saman RM90 juta NFCorp, kata CIMB Securities

23/06/2025 - 14:36
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 Jun - Public Bank Bhd dianggar tidak berdepan impak besar daripada saman yang sedang berlangsung walaupun harga sahamnya menunjukkan kelemahan sejak kebelakangan ini, kata CIMB Securities.
Katanya, penurunan harga saham itu berkemungkinan berkait rapat dengan laporan terkini mengenai liabiliti undang-undang bank tersebut selain ketidaktentuan makroekonomi semasa.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Public Bank bertanggungjawab membayar ganti rugi sebanyak RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp), pengerusinya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, serta tiga entiti lain.
Tuntutan saman tersebut melibatkan dakwaan Public Bank telah mendedahkan maklumat sulit berkaitan akaun plaintif dan cadangan pembelian hartanah di KL Eco City dengan seorang bekas kerani bank telah dikaitkan dengan kebocoran maklumat itu.
Pada 18 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan telah menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM90 juta kepada National Feedlot Corporation selepas menolak rayuan Public Bank pada 26 Mei lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Persekutuan arahkan Public Bank bayar ganti rugi RM90 juta kepada NFCorp
Panel tiga hakim tersebut terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais.
Panel hakim telah memerintahkan Public Bank untuk membayar masing-masing RM30 juta bagi ganti rugi ekuiti, teladan dan teruk.
“Kami menjangkakan kesan yang terhad daripada saman ini. Kami mengekalkan saranan "beli" ke atas Public Bank memandangkan hasil dividen dijangka kekal menarik,” katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities juga mengekalkan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.10 bagi saham tersebut.
Firma penyelidikan itu berkata, kualiti aset bank yang kekal kukuh serta potensi untuk memberikan hasil dividen yang baik, disokong oleh pelepasan modal di bawah perubahan Basel III yang dijangka berkuat kuasa pada 2026.
Namun begitu, firma tersebut turut memberi amaran terhadap beberapa risiko termasuk kemungkinan kos kredit yang lebih tinggi daripada jangkaan, pertumbuhan pinjaman yang lebih lemah, dan kos pembiayaan yang kekal tinggi secara berterusan.
Firma penyelidikan itu menyatakan, kos kredit Public Bank boleh meningkat kepada 33 mata asas dalam senario tekanan yang lebih tinggi, serupa dengan kemuncak semasa pandemik COVID-19.
"Jika kami turut mengambil kira dua lagi pemotongan kadar dasar sebanyak 25 mata asas setiap satu, unjuran dividen sesaham kami mungkin akan disemak sedikit lebih rendah.
"Dividen sesaham dijangka menurun sebanyak 1.0 sen sahaja, daripada 21.5 sen kini kepada 20.5 sen, berdasarkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 59.4%.
"Bagaimanapun, hasil dividen masih kekal agak menarik melebihi 4.8% untuk unjuran tahun kewangan 2025 walaupun dalam senario ini,” katanya. - DagangNews.com
standard
