Ta Ann tingkatkan pembelian buah tandan segar, kukuhkan rantaian bekalan - RHB Research

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2025 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ta Ann tingkatkan pembelian buah tandan segar, kukuhkan rantaian bekalan - RHB Research

image is not available

29/09/2025 - 09:33

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - Ta Ann Holdings Berhad sedang mengembangkan rantaian bekalannya dengan meningkatkan pembelian buah tandan segar (BTS) dari luar pada separuh pertama 2025 (1HFY25), kata RHB Research.

Katanya, pembelian hasil luar meningkat sekitar 10% hingga 12% tahun ke tahun bagi tempoh tersebut, sejajar dengan strategi kumpulan dalam memastikan bekalan mencukupi.

Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu diambil susulan pengeluaran dalaman yang masih tidak mencapai sasaran dengan peneluaran sehingga Ogos tahun ini susut sekitar 7% berbanding tempoh sama tahun lalu, lebih rendah daripada panduan pertumbuhan 6% hingga 12% yang ditetapkan bagi tahun kewangan 2025 (FY25).

"Kami menjangkakan BTS luaran menyumbang kira-kira 65% daripada jumlah BTS yang diproses bagi tempoh FY25–FY27, meningkat daripada purata 59% yang direkodkan sepanjang FY22–FY24," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research berkata, strategi itu bukan sahaja mempelbagaikan sumber bahan mentah Ta Ann tetapi memberi peluang kepada kumpulan untuk meraih keuntungan lebih tinggi ketika harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) berada pada paras kukuh.

Katanya, harga MSM bagi suku ketiga 2025 meningkat 10% suku ke suku kepada RM4,354 satu tan, manakala harga PK melonjak 25% kepada RM3,628 satu tan.

Walaupun pergantungan lebih besar kepada pembelian luar boleh meningkatkan persaingan mendapatkan BTS di pasaran, pihak pengurusan tetap yakin peluasan rantaian bekalan ini akan menyokong penggunaan kilang serta pertumbuhan keuntungan syarikat dalam jangka sederhana.

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan pada FY25 hingga FY27 sebanyak 6% bagi mencerminkan pembelian BTS luaran.

"Kami juga menyemak semula skor ESG bagi komponen “S” (Sosial) kepada 2.3 (daripada 2.0), yang seterusnya meningkatkan skor keseluruhan ESG Ta Ann kepada 2.2 daripada 2.1.

"Semakan ini disokong komitmen pengurusan untuk mengekalkan sifar kematian berkaitan kerja pada FY25 (FY24: tiada; FY23: satu) serta perbelanjaan berterusan ke atas kemudahan dan kebajikan pekerja.

"Kami juga mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM3.95 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard