
PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan peningkatan 1.0 peratus kepada 26,817 tan metrik pada Julai 2026 berbanding 26,553 tan metrik yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, sektor pekebun kecil kekal sebagai penyumbang utama pengeluaran getah negara dengan penguasaan 87.6 peratus berbanding sektor estet yang menyumbang 12.4 peratus.
“Bagaimanapun, perbandingan asas tahun ke tahun menunjukkan jumlah pengeluaran getah asli negara mengalami penurunan sebanyak 25.3 peratus berbanding 35,884 tan metrik yang dicatatkan pada Julai 2025.
“Sementara itu, kedudukan jumlah stok getah asli negara bagi tempoh Julai 2026 menurun 0.7 peratus kepada 128,946 tan metrik berbanding 129,836 tan metrik pada Jun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir terbesar iaitu sebanyak 77.8 peratus, diikuti kilang pengguna getah pada kadar 22.0 peratus dan estet getah sebanyak 0.2 peratus.
“Eksport getah asli Malaysia pula menunjukkan prestasi positif apabila berjaya melonjak 6.2 peratus kepada 41,241 tan metrik pada Julai 2026 berbanding 38,821 tan metrik pada Jun lalu.
“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli negara dengan menguasai 45.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada bulan berkenaan.
“Destinasi eksport lain termasuk Jerman yang menyumbang 14.4 peratus, Amerika Syarikat (9.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.4 peratus) serta Brazil pada kadar 3.3 peratus,” katanya.
Tambahnya, prestasi eksport produk berasaskan getah asli terus didominasi oleh barangan sarung tangan getah dengan nilai mencecah RM1.7 bilion pada Julai 2026, meningkat 20.4 peratus berbanding RM1.4 bilion pada bulan sebelumnya.
“Mengenai pergerakan harga bulanan, lateks pekat mencatatkan penurunan 1.5 peratus kepada RM7.25 sekilogram berbanding RM7.36 sekilogram pada Jun, manakala sekerap merosot 5.0 peratus kepada 753.23 sen sekilogram.
“Berdasarkan World Bank Commodity Price Data, harga getah jenis TSR 20 merosot 4.9 peratus kepada AS2.14 sekilogram, manakala gred SGP/MYS susut 2.8 peratus kepada AS2.78 sekilogram berbanding bulan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN
The post Pengeluaran getah asli meningkat 1.0 peratus pada Julai appeared first on Utusan Malaysia.






