
KUALA LUMPUR – Seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih untuk kekal mencarum di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam), selepas tempoh pilihan keluar atau berakhir pada 31 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah itu menunjukkan majoriti pekerja menyedari kepentingan mempunyai perlindungan keselamatan sosial termasuk selepas waktu bekerja.
Katanya, Lindung 24 Jam memberi perlindungan kepada pekerja sekiranya mengalami kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan, termasuk ketika berada di luar waktu bekerja.
“Dengan pilihan yang telah diberikan, seramai 8.5 juta pekerja masih kekal, iaitu sekitar 87.6 peratus pekerja menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24 Jam.
“Ini membuktikan ramai pekerja di luar sana mengambil maklum dan melihat kepada kepentingan perlindungan keselamatan sosial selepas waktu bekerja,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Lindung 24 Jam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, pelaksanaan skim tersebut mula menunjukkan keperluannya apabila 6,330 tuntutan diterima dalam tempoh tiga bulan pertama antara 1 Jun hingga 31 Ogos lalu, dengan purata kira-kira 69 kes sehari.
Katahya, jumlah keseluruhan bayaran faedah yang disalurkan dalam tempoh berkenaan mencecah RM9.97 juta.
Bayaran itu merangkumi antaranya Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, bayaran ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta alat pemulihan dan implan.
Mohammed Azman berkata, bayaran tersebut hanya menggambarkan liabiliti jangka pendek kerana jumlah keseluruhan bagi kes melibatkan bayaran faedah jangka panjang boleh mencecah lebih 10 kali ganda daripada bayaran asal.
Beliau berkata, data tuntutan juga menunjukkan golongan berpendapatan rendah merupakan antara penerima utama perlindungan itu apabila 74 peratus pekerja yang membuat tuntutan bergaji bawah RM3,500.
“Majoriti yang membuat tuntutan, kira-kira 74 peratus, adalah golongan berpendapatan rendah dan golongan muda. Ini adalah data yang kita ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 8.5 juta pekerja kekal carum Lindung 24 Jam appeared first on Kosmo Online.






