8.5 juta pekerja kekal carum Lindung 24 Jam

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 8.5 juta pekerja kekal carum Lindung 24 Jam

KUALA LUMPUR: Seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih untuk kekal mencarum dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) selepas tempoh pilihan keluar daripada skim itu berakhir pada 31 Ogos lalu.

Daripada pekerja yang memilih untuk tidak menyertai skim berkenaan, 52 peratus bergaji bawah RM3,500, manakala 48 peratus lagi menerima gaji RM3,500 ke atas.

Mengikut pecahan negeri pula, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi pekerja yang memilih keluar iaitu 53 peratus, diikuti Johor (11 peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus) dan negeri-negeri lain sebanyak 27 peratus.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana sebahagian besar pekerja yang memilih keluar terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang lebih memerlukan perlindungan keselamatan sosial.

“Kami berharap mereka akan memikirkan semula dan mempertimbangkan kepentingan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau hilang upaya sehingga tidak mampu bekerja,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Menara Perkeso di sini hari ini.

Mengulas sama ada pekerja masih boleh memilih keluar daripada skim itu, Mohammed Azman berkata, tempoh opt-out sudah berakhir dan tidak akan dibuka semula kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada sistem majikan serta Perkeso.

Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja yang sebelum ini memilih keluar masih boleh kembali menyertai Lindung 24 Jam atau opt-in pada bila-bila masa.

“Siapa yang mahu opt-in, pada bila-bila masa boleh berbuat demikian kerana kita mahu, kalau boleh, semua pekerja mendapat perlindungan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kira-kira 9,000 hingga 10,000 pekerja yang pada peringkat awal memilih keluar sudah kembali menyertai skim berkenaan.

Katanya, Perkeso akan terus memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran kepada pekerja yang masih belum menyertai Lindung 24 Jam supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, sebanyak 6,330 tuntutan diterima setakat 31 Ogos lalu dengan jumlah bayaran faedah mencecah RM9.97 juta, manakala purata tuntutan diterima adalah kira-kira 69 kes sehari.

Katanya, data tuntutan menunjukkan 74 peratus pekerja yang membuat tuntutan bergaji bawah RM3,500, dengan majoritinya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan pekerja muda.

“Majoriti yang membuat tuntutan adalah golongan berpendapatan rendah dan golongan muda. Ini adalah data yang kita ada,” katanya. –UTUSAN

The post 8.5 juta pekerja kekal carum Lindung 24 Jam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved