hamden26/05/2026 - 15:15 KUALA LUMPUR 26 Mei - Pengeluaran Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA) versi baharu yang sebelum ini dijadual bermula 1 Jun 2026 ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penangguhan itu dibuat bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pengalaman pengguna berada pada tahap terbaik.
Menurut beliau, orang ramai masih boleh memperbaharui pasport seperti biasa manakala pasport sedia ada yang masih sah boleh terus digunakan sehingga tamat tempoh.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pelaksanaan PMA baharu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jabatan itu menghargai kerjasama dan sokongan berterusan orang ramai selain kekal komited memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan versi baharu PMA yang dilengkapi 94 ciri keselamatan dijadual mula dikeluarkan pada 1 Jun ini bagi memperkukuh tahap keselamatan dokumen perjalanan negara.
Langkah memperkenalkan pasport generasi baharu itu dilihat selari dengan usaha kerajaan mempertingkat keselamatan identiti serta mengekang risiko pemalsuan dokumen perjalanan. - BERNAMA






