Farm Fresh berada di landasan pertumbuhan positif dipacu perluasan portfolio susu, aiskrim - Kenanga

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2025 • 4:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Farm Fresh berada di landasan pertumbuhan positif dipacu perluasan portfolio susu, aiskrim - Kenanga

image is not available

24/09/2025 - 16:12

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - Farm Fresh Berhad berada di landasan pertumbuhan positif didorong perluasan portfolio pembuatan susu, minuman malt coklat serta pelancaran perisa baharu untuk produk aiskrim, kata Kenanga Research.

Katanya, kumpulan itu meningkatkan kapasiti pengeluaran aiskrim di kilang Taiping sebanyak kira-kira 230,000 unit sehari, menjadikan jumlah semasa kepada 450,000 unit sehari.

Kilang baharu di Enstek pula katanya, dijadual siap pada Januari 2026 dan mula beroperasi menjelang akhir suku pertama tahun hadapan, yang akan menambah lagi 550,000 unit sehari, menjadikan jumlah kapasiti keseluruhan sekitar 1 juta unit sehari.

"Farm Fresh baru-baru ini memasang barisan pengeluaran susu UHT baharu dengan kapasiti 24,000 pek sejam — peningkatan ketara berbanding barisan lama 9,000 pek sejam.

"Pelaburan ini disokong kontrak lima tahun bersama Kementerian Pendidikan di bawah Program Susu Sekolah bernilai lebih RM600 juta, yang bermula tahun ini.

"Berbeza dengan kontrak tahunan sebelum ini, tempoh lebih panjang memberi kepastian pengeluaran yang lebih baik, dengan anggaran 86 juta pek pada tahun pertama, bersamaan lebih RM100 juta hasil bagi tahun 2025," katanya dalam satu nota kajian.

Selain program kerajaan, firma penyelidikan itu berkata, Farm Fresh turut merancang untuk melancarkan minuman UHT malt coklat berharga RM1 khusus untuk pelajar sekolah yang tidak berada di bawah skim subsidi kerajaan.

Katanya, ketika ini, kadar penggunaan kilang di Muadzam Shah berada pada 70% lebih tinggi berbanding Taiping kurang 50% dan Larkin dalam lingkungan 50% hingga 60%, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan kecekapan operasi.

Kenanga Research berkata, Farm Fresh juga kekal sebagai peneraju dalam pertanian regeneratif sejak 2014, dengan mengamalkan amalan pertanian kitaran.

"Pada FY24 sahaja, syarikat berjaya mengitar semula 418.6 juta liter efluen ladang dan 146,730 tan sisa pepejal. Hasil sampingan organik diproses melalui vermikultur untuk menghasilkan baja semula jadi (wormcast), mengurangkan kebergantungan terhadap baja sintetik.

"Pada tahun sama juga, kumpulan itu menghapuskan 1.5 juta kg baja sintetik daripada kitaran nutriennya, selain menggunakan air buangan terawat yang kaya nitrogen untuk mengairi padang rumput dan jagung sebagai makanan ternakan.

"Pencapaian ini menegaskan kepimpinan Farm Fresh dalam menghubungkan pengeluaran tenusu dengan kelestarian guna tanah, sambil terus meningkatkan kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.36 sesaham.- DagangNews.com

standard