Pengerusi badan berkanun didakwa terima rasuah lebih RM800,000

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 3:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengerusi badan berkanun didakwa terima rasuah lebih RM800,000
Shaik Hussein Mydin, 53, mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan menerima rasuah lebih RM800,000. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Seorang pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 15 pertuduhan menerima rasuah lebih RM800,000 antara Jun 2025 hingga Julai 2026.

Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Shaik Hussein dituduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) dalam beberapa transaksi, dengan nilai suapan antara RM45.51 sehingga RM244,620 daripada pengarah ATSH Management Sdn Bhd (ATSH), Datuk R Albert Suresh.

Wang itu didakwa diterima sebagai upah melantik ATSH menjadi subkontraktor kepada AISB, bagi menyiapkan sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang bernilai RM23,268,215.35.

Kesemua kesalahan itu, didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda dekat sini antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Lim Jin Hong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Shaik Hussein diwakili tujuh peguam diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad bersama-sama Datuk Hasnal Rezua Merican, Mohd Shahrullah Khan, Simon Tan, Dr Shamsher Singh Thind, Muzzammil Merican serta Intan Nur Alia Nodzri. 

Terdahulu, Jin Hong dan Nurnajihatul Idayu menawarkan jaminan RM1 juta dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menyifatkan jumlah jaminan ditawarkan pihak pendakwaan keterlaluan, memandangkan ia hanya untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Januari 2027 untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh untuk memohon mendapatkan semula pasport bagi tempoh dan tujuan tertentu, sekiranya terdapat keperluan.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved