liza06/08/2026 - 09:42 Tan Kok Chor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Pengerusi Borneo Oil Berhad, Tan Kok Chor yang berusia 76 tahun meninggal dunia pada 4 Ogos 2026 selepas berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah syarikat itu sejak 2001.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Borneo Oil berkata Lembaga Pengarah syarikat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama Borneo Oil.
“Lembaga pengarah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan merakamkan penghargaan yang tulus atas sumbangan serta khidmat bakti beliau yang tidak ternilai kepada syarikat,” kata Borneo Oil.
Tiada butiran terperinci didedahkan berhubung kematian Tan dalam makluman itu.
Tan menyertai lembaga pengarah Borneo Oil pada Ogos 2001 sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sebelum dilantik semula sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif pada November 2015.
Menurut Laporan Tahunan 2025 syarikat, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan, undang-undang dan pentadbiran, sekali gus membawa perspektif yang menyeluruh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengerusi.
Selain menganggotai lembaga pengarah Borneo Oil, beliau turut berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah beberapa syarikat swasta di Malaysia.
Borneo Oil menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk operasi makanan dan francais, pelaburan serta pengurusan hartanah, selain sumber dan tenaga mampan.- DagangNews.com






