Penggunaan aplikasi pemesejan sangat menarik kerana ia menjadi semakin interaktif dengan pelbagai perkara boleh dilakukan. Misalnya di Telegram ini ada permainan Mini, di iMessage ada penjana imej AI dan banyak lagi. Satu persamaan yang kebanyakan tawarkan adalah sokongan pelekat. Terbaru, jika anda menggunakan Gboard anda sudah boleh menjana pelekat dengan AI.

Cuma, ia terhad kepada Gboard dalam Google Pixel 9 di mana ciri ini menggunakan Pixel Studio. Jika sebelum ini Pixel Studio boleh menjana imej, ciri terbaru dalam versi 1.4 adalah menjana pelekat pula. Dalam aplikasi Pixel Studio, di bahagian My projects kini ada tab Stickers. Di dalamnya, beberapa koleksi telah disediakan dan pengguna turut boleh menjana sendiri berdasarkan prom ringkas.

Selain itu, pelekat turut boleh dijana dengan imej yang telah disimpan dari dalam peranti. Ia akan menggunakan AI untuk mengesan subjek dan membuang latar belakang. Dengan kemas kini Pixel Studio 1.4 ini, pek pelekat yang dijana olehnya turut akan dipaparkan di dalam Gboard bersama-sama dengan koleksi pelekat lain.
