Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak serta keperluan persijilan halal berjaya dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Puchong, tengah malam tadi.
Operasi bersepadu menerusi Ops Taring Chiller itu turut menahan seramai 12 lelaki warga asing dari Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai aktif bertindak sebagai pekerja pengurusan serta penyembelihan di premis berkenaan.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata serbuan yang dijalankan pada jam 12.40 tengah malam itu membongkar kegiatan premis yang beroperasi tanpa sijil halal sah.
Artikel berkaitan: JAKIM Siasat Isu Video Tular Sembelihan Ayam Didakwa Tidak Sah Di Pasar Pudu
Artikel berkaitan: Para Ibu ‘Excited’ Sampai Berebut Naik Pentas Saat Prabowo Minta 10 Wakil Tunjuk Contoh Potongan Ayam
View on Threads
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kaedah pengendalian dan penyembelihan ayam di gudang terbabit menimbulkan keraguan serius terhadap status halalnya, terutamanya aspek pematuhan syariah.
“Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan,” katanya.
Operasi terbabit turut digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), serta Pejabat Kesihatan Petaling.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa keseluruhan 6.5 tan ayam mentah yang ditemui di dalam 468 bungkus plastik itu dianggarkan bernilai RM85,400.
Hasil siasatan mendapati bekalan ayam mentah diperoleh dari beberapa ladang sekitar Sepang sebelum diproses dan diedarkan kepada pelbagai pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit, serta pasar raya di sekitar Lembah Klang.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Manakala kesemua pekerja warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






