
SANDAKAN: Pengguna pelabuhan di sini menuntut penyelesaian segera dan konkrit terhadap kerosakan berpanjangan peralatan di Pelabuhan Sandakan, memberi amaran gangguan berterusan boleh menyebabkan kerugian kewangan semakin meningkat dan menjejaskan ekonomi daerah.
Persatuan Penghantaran Sandakan (SFA), Persatuan Agen Perkapalan Sabah (SSAA) dan Persatuan Pengangkutan Sewa Lori Sandakan (SLHTA) mengadakan pertemuan pada Khamis bagi membincangkan kerosakan terbaharu Kren Pelabuhan Bergerak (MHC) dan kesannya terhadap operasi pelabuhan.
Pengerusi SFA merangkap Timbalan Pengerusi SLHTA Chong Thien Ming berkata pengguna pelabuhan dimaklumkan Sabah Ports melalui surat bertarikh 5 Okt bahawa kerja pembaikan MHC itu akan mengambil masa kira-kira dua bulan.
Beliau berkata dua unit MHC dari Tawau dijangka dihantar ke Sandakan menjelang akhir Oktober bagi menyokong operasi pelabuhan.
“Bagaimanapun, persoalan utamanya ialah: Pengguna pelabuhan nak buat apa dari 5 Okt hingga 30 Okt? Perniagaan tidak boleh menghentikan operasi begitu sahaja dan menunggu 25 hari lagi,” katanya.
Chong turut mempersoalkan apakah jaminan yang boleh diberikan Sabah Ports bahawa dua unit MHC itu akan tiba mengikut jadual dan bersedia untuk beroperasi.
“Pengguna pelabuhan memerlukan kepastian, bukan sekadar petunjuk bila peralatan itu mungkin tiba,” katanya.
Beliau berkata Sabah Ports turut meminta kapal yang dilengkapi kren sendiri untuk berlabuh di Pelabuhan Sandakan dan menjalankan operasi pemunggahan serta pemuatan sendiri.
Bagaimanapun, Chong berkata langkah itu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian lengkap kerana bukan semua kapal dilengkapi kren, manakala kren pada kapal mungkin tidak sesuai untuk mengendalikan semua jenis dan jumlah kargo.
“Apa yang dijangka dilakukan ejen perkapalan, ejen penghantaran, pengusaha pengangkutan dan komuniti perniagaan apabila kapal mereka tidak boleh bergantung pada peralatan pelabuhan sendiri?” soalnya.
Chong menegaskan pengguna pelabuhan tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat kewangan daripada kerosakan peralatan yang berlarutan.
Beliau berkata kelewatan membabitkan kargo, kapal, kontena dan lori boleh menyebabkan kos tambahan serta kerugian kepada perniagaan.
“Sabah Ports, sebagai penyedia perkhidmatan pelabuhan, mesti bertanggungjawab terhadap kesan yang timbul daripada kegagalan peralatan dan operasinya.
“Pengguna pelabuhan tidak seharusnya dijangka menanggung semua kos tambahan dan kerugian yang disebabkan masalah di luar kawalan mereka,” katanya.
Chong berkata kerosakan terbaharu itu turut menonjolkan kebimbangan yang berulang kali dibangkitkan tiga persatuan berkenaan mengenai keadaan peralatan pelabuhan yang sudah berusia sejak empat tahun lalu.
“Kami berulang kali meminta aset baharu. Kami telah membangkitkan keadaan MHC, penindan kontena, treler kontena dan forklift.
“Namun, maklum balas terus berkisar mengenai jumlah TEU yang tidak mencukupi. Tetapi jika pelabuhan tidak mempunyai peralatan yang boleh dipercayai, bagaimana kita boleh meningkatkan jumlah TEU?” soalnya.
Chong berkata sesetengah peralatan MHC telah digunakan lebih 20 tahun, manakala Pelabuhan Sandakan masih sangat bergantung kepada kren pelabuhan bergerak.
Beliau mempersoalkan sama ada terdapat komitmen jangka panjang untuk membangunkan Pelabuhan Sandakan sebagai pintu masuk ekonomi utama bagi pantai timur Sabah.
“Adakah matlamatnya sekadar beroperasi berdasarkan jumlah TEU sedia ada atau terdapat komitmen untuk membangunkan Pelabuhan Sandakan dan meningkatkan daya saingnya?“Jika kita mahukan lebih banyak laluan perkapalan, kargo dan aktiviti perniagaan, kita mesti menyediakan infrastruktur dan peralatan pelabuhan yang boleh dipercayai terlebih dahulu,” katanya.
Beliau memberi amaran gangguan itu boleh menjejaskan rantaian bekalan lebih luas, termasuk ejen perkapalan, ejen penghantaran, pengusaha pengangkutan, pengimport, pengeksport, pengilang, peniaga dan pengguna.
Perniagaan boleh berdepan kos tambahan berkaitan penyimpanan, pengangkutan, kapal dan kontena, manakala sesetengahnya mungkin terpaksa menangguhkan atau membatalkan pesanan berikutan ketidaktentuan pergerakan kargo.
Dengan Krismas dan Tahun Baharu semakin hampir, Chong berkata situasi itu amat membimbangkan komuniti perniagaan.
“Tahun lepas, perniagaan sudah mengalami kerugian besar apabila MHC rosak. Kita tidak boleh membiarkan perkara sama berlaku lagi tahun ini.
“Komuniti perniagaan perlu tahu sama ada Pelabuhan Sandakan boleh mengendalikan kargo mereka dengan baik sebelum membuat pesanan baharu. Jika tidak, mereka sendiri terpaksa menanggung risikonya,” katanya.
Chong menggesa Kerajaan Sabah campur tangan segera dan memudah cara penyelesaian konkrit antara Sabah Ports dengan semua pihak berkepentingan yang terjejas.
Beliau turut meminta Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedict menganjurkan sesi perjumpaan bersama membabitkan semua pengguna dan penyedia perkhidmatan pelabuhan, sama seperti sesi libat urus yang diadakan di Kota Kinabalu.
“Biarlah semua pihak duduk bersama dan membentangkan fakta, masalah, kos serta penyelesaian. Paling penting, kita memerlukan garis masa dan akauntabiliti yang jelas,” katanya.
Chong menegaskan cadangan persatuan berkenaan kekal jelas, iaitu Sabah Ports perlu melabur dalam aset pelabuhan baharu dan boleh dipercayai atau mempertimbangkan penswastaan perkhidmatan atau operasi pelabuhan tertentu bagi meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti.
“Kita tidak boleh terus berada dalam kitaran kerosakan, pembaikan, menunggu dan ketidaktentuan yang sama.
“Pelabuhan Sandakan penting kepada ekonomi Sandakan dan pantai timur Sabah. Jika keadaan ini berterusan, kesannya tidak akan terhenti di pelabuhan.
“Perniagaan mungkin mengurangkan operasi, menangguhkan pelaburan atau akhirnya ditutup. Kita memerlukan penyelesaian kekal, bukan satu lagi aturan sementara,” katanya.

![[VIDEO] ‘Segera ambil tindakan, takut esok lusa jalan terbelah dua’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/jln-1024x659.jpeg)




