
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Oktober bagi pendengaran permohonan komital seorang lelaki yang didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah supaya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar.
Permohonan komital itu berkaitan kes saman fitnah usahawan fesyen yang juga pempengaruh media sosial, Christy Ng dan syarikatnya Christy Ng Sdn Bhd terhadap terhadap J Vikneshvra Rau sebagai defendan.
Hakim Arziah Mohamed Apandi menetapkan tarikh itu selepas defendan gagal menghadirkan diri ke prosiding di mahkamah hari ini.
Semasa prosiding hari ini peguam Foong Cheng Leong yang mewakili plantif memberitahu mahkamah bahawa beliau sudah menghubungi sendiri defendan pada pagi ini, namun lelaki berkenaan memaklumkan tidak dapat hadir ke mahkamah atas kekangan kewangan.
Mendengar perkara itu, Hakim Arziah kemudian berkata, beliau perlu mendengar penjelasan daripada defendan sebelum membuat keputusan berhubung permohonan komital tersebut.
“Pihak plaintif boleh membuat permohonan supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap defendan, sekiranya defendan gagal hadir ke prosiding 26 Oktober ini,” katanya.
Pada 13 Februari lalu, Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman ingkar kehadiran selepas Vikneshvra gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab tindakan berkenaan.
Mahkamah antara lain menghalangnya daripada menerbitkan kenyataan berunsur fitnah selanjutnya dan mengarahkannya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tiga akhbar serta akaun media sosialnya.
Meskipun defendan menyiarkan permohonan maaf menerusi akaun Threads pada 19 Mac lalu, dia didakwa masih gagal menerbitkan permohonan maaf seperti diarahkan dalam akhbar, termasuk The Star dan Harian Metro.
Pada 15 September lalu, mahkamah memberikan kebenaran kepada Christy dan syarikatnya memulakan prosiding komital terhadap Vikneshvra atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah berkenaan.
Terdahulu ada 30 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi global berjumlah RM180,000 kepada Christy dan syarikatnya selepas penilaian ganti rugi dibuat.
Daripada jumlah itu, RM140,000 dianugerahkan kepada Christy, manakala RM40,000 diberikan kepada syarikatnya.
Mahkamah turut memerintahkan Vikneshvra membayar faedah dan kos RM10,000, selain menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam dua akhbar serta akaun media sosialnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kes saman Christy Ng terhadap seorang lelaki didengar 26 Oktober appeared first on Kosmo Online.






