amree12/11/2026 - 16:15 NORAINI AHMAD Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Penggunaan teknologi dalam sektor perladangan sawit membolehkan SD Guthrie Berhad mengurangkan keperluan tenaga kerja am sebanyak 2,252 orang atau 29% menerusi penggunaan 444 mesin moden, tanpa melibatkan pemberhentian pekerja.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pencapaian positif tersebut berjaya dicatatkan setakat Jun 2026 menerusi inisiatif dikenali sebagai Project Infinity yang dilaksanakan oleh syarikat perladangan berkenaan sejak 2021.
Beliau berkata, mesin-mesin tersebut digunakan bagi pelbagai aktiviti bukan penuaian termasuk kerja pembajaan, kawalan rumpai serta kawalan perosak dan penyakit, sekali gus dapat mengurangkan tahap kebergantungan kepada tenaga kerja secara manual.
Malahan ujarnya lagi, bilangan pekerja warga asing SD Guthrie turut didapati berkurangan kira-kira 18% daripada sebanyak 22,607 orang pada 2019 kepada hanya 18,435 orang setakat Jun 2026.
"Dalam tempoh sama, nisbah keluasan tanah kepada pekerja meningkat daripada 1:11 kepada 1:13, sekali gus mengatasi julat lazim industri perladangan sekitar 1:8 hingga 1:10," kata Noraini dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, walaupun jumlah jentera dikurangkan sebanyak 53%, produktiviti setiap mesin namun meningkat 51%, manakala kapasiti efektif melonjak 2.45 kali ganda, mencerminkan peningkatan kecekapan penggunaan teknologi di ladang.

Dalam usaha membangunkan pekerja tempatan berkemahiran, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bekerjasama dengan SD Guthrie.
Tambah Noraini, kerjasama yang turut melibatkan institusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) itu dilaksanakan menerusi Program Pakar Mesin yang setakat ini berjaya melatih dan menempatkan 503 anak tempatan dalam sektor perladangan.
"Peserta program berkenaan menerima purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan, sekali gus menunjukkan sektor perladangan moden turut menawarkan peluang kerjaya berkemahiran dengan pendapatan kompetitif kepada golongan belia," ujar beliau.
KPK katanya, akan terus menyokong usaha penggunaan mesin, automasi dan pendigitalan bersama-sama pemain industri bagi meningkatkan lagi tahap produktiviti serta mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing secara berperingkat.
Inisiatif itu kata Noraini selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mempercepat penggunaan teknologi dalam sektor perladangan, selain memperkukuh penyertaan ramai tenaga kerja tempatan dalam industri komoditi negara. - DagangNews.com






