amree12/11/2026 - 12:40 NORAINI Ahmad ketika berucap merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI di Ayer Molek, Melaka. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Pekebun kecil sawit perlu memahami kepentingan melindungi kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV), termasuk habitat biodiversiti dan lokasi yang ada nilai sosial serta kebudayaan, bagi memastikan pengeluaran minyak sawit terus memenuhi tuntutan kemampanan pasaran.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kesedaran mengenai HCV adalah penting supaya aktiviti penanaman sawit dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi dan warisan setempat kawasan tanaman komoditi berkenaan.
Tambah beliau, latihan serta bimbingan berkaitan HCV yang dilaksanakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membantu pekebun kecil mengenal pasti, mengurus dan melindungi kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Menurutnya lagi, akreditasi MSPO itu bukan sahaja dapat memastikan amalan pengeluaran sawit dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab, malah meningkatkan keyakinan pengguna dan pasaran antarabangsa terhadap komitmen serius Malaysia dalam pembangunan industri sawit yang mampan.
"Setakat September 2026, sebanyak 162 kluster minyak sawit mampan (SPOC) di bawah seliaan MPOB sudah pun berjaya memperoleh pensijilan MSPO, yang melibatkan lebih 181,000 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun mencecah 706,647.06 hektar," kata Noraini.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI di Ayer Molek, Melaka, pada Rabu. Program berkenaan dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada pekebun kecil sawit persendirian di negeri tersebut, selain ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Di Melaka pula ujar beliau, dua SPOC sudah memperoleh pensijilan berkenaan, melibatkan seramai 2,520 pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman yang melebihi 9,600 hektar.
Noraini berkata, langkah perluasan pensijilan MSPO perlu disokong dengan bimbingan dan khidmat nasihat berterusan supaya pekebun kecil bukan sahaja memperoleh sijil, tetapi turut memahami serta mengamalkan prinsip kemampanan dalam aspek pengurusan kebun.
Bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan, MPOB turut melaksanakan Program Kaunter Bergerak dan Hari Bertemu Pelanggan di pelbagai lokasi. Di Melaka, sebanyak 22 program seumpama itu sudah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 744 pekebun kecil sawit.
"Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB turut memainkan peranan dalam membimbing pekebun kecil tersebut untuk mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP), meningkatkan tahap kerja produktiviti serta mengurus kebun dengan lebih cekap," tambah beliau.
Usaha berkenaan kata Noraini, turut menyokong hala tuju strategik MPOB menerusi visi PALMS 2030 yang memberi tumpuan besar kepada lima bidang utama, iaitu produktiviti, automasi, rendah karbon, kebolehpasaran dan kemampanan menjelang 2030.
Melalui pendekatan itu, pekebun kecil digalakkan meningkatkan hasil tanpa perluasan kawasan tanaman yang tidak wajar, selain memanfaatkan teknologi. Penggunaan mesin Cantas™ turut membantu meningkatkan kecekapan penuaian mengikut kesesuaian keadaan ladang. - DagangNews.com






