amree05/11/2026 - 09:05 Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov — Seramai 1,500 pekebun kecil sawit persendirian dijangka mendapat manfaat daripada Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 menerusi Belanjawan 2027, melibatkan kawasan tanaman seluas 5,900 hektar (ha).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menambah, inisiatif baharu tersebut bertujuan membantu pekebun kecil berkenaan agar mereka dapat melaksanakan aktiviti penanaman semula selain memperkukuh kemampanan sektor sawit negara.
Menurut beliau, di bawah pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober 2026 mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi usaha pelaksanaan TSPKS 2.0 sepanjang tahun depan.
"Selain skim tersebut, seramai 740 pekebun kecil sawit persendirian dengan keluasan tanaman secara keseluruhan mencecah 11,110 hektar turut dijangka menerima manfaat menerusi Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS)," kata beliau lagi.
Noraini menyatakan perkara berkenaan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Di samping itu ujarnya, kerajaan juga akan meneruskan PTSS bagi menyediakan bantuan pembiayaan kepada pekebun kecil yang berkelayakan, khususnya mereka yang didapati berdepan dengan kekangan modal untuk melaksanakan penanaman semula.
Sementara itu, menyentuh berhubung pendapatan pekebun kecil getah, beliau berkata, hasil sebenar mereka masih lagi bergantung kepada isu tahap pengeluaran, termasuk kekerapan menoreh dan keluasan kebun yang diusahakan.
"Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus mengekalkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebagai mekanisme jaminan pendapatan berdasarkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) untuk membantu kebajikan golongan itu," tambah Noraini.
Menerusi mekanisme berkenaan jelas beliau, pekebun kecil akan dapat menerima manfaat IPG terutama apabila harga getah di pasaran komoditi semasa jatuh di bawah paras PHP yang ditetapkan.
Ujarnya, ambang harga bagi pelaksanaan IPG juga sudah dinaikkan sebanyak tujuh kali sejak 2015 bagi membantu melindungi pendapatan pekebun kecil daripada ketidaktentuan harga pasaran. - DagangNews.com






