Pertumbuhan Southern Score pada FY27 berpotensi dijana baki projek cecah RM1.64 bilion - TA Securities

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan Southern Score pada FY27 berpotensi dijana baki projek cecah RM1.64 bilion - TA Securities Image from: Pertumbuhan Southern Score pada FY27 berpotensi dijana baki projek cecah RM1.64 bilion - TA Securities amree09/09/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 SeptSouthern Score Builders Berhad dijangka mencatat momentum pertumbuhan kukuh pada tahun kewangan 2027 (FY27) dijana buku tempahan belum dibilkan berjumlah RM1.64 bilion.

 

TA Securities menjangkakan kira-kira 50% daripada baki kontrak pelbagai kerja projek pembinaan serta mekanikal dan elektrikal (M&E) kini memasuki fasa pelaksanaan yang dilihat lebih rancak.

 

Prestasi itu hadir selepas ia merekodkan tahun kewangan 2026 (FY26) yang kukuh dengan keuntungan selepas cukai (PAT) naik 59.5% kepada RM62.9 juta, paras tertinggi disokong peningkatan tender.

 

"Segmen pembinaan kini ada baki projek RM1.05 bilion, manakala segmen M&E mempunyai RM590.3 juta, dan peningkatan kadar pelaksanaan menyokong hasil Southern Score lebih kukuh pada FY27," tambahnya.

 

Dari segi perolehan kontrak baharu, pihak pengurusan menyasarkan RM450 juta kerja pembinaan serta RM600 juta kontrak M&E, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar melepasi RM1.1 bilion bagi FY27.

 

Sasaran M&E itu juga ujar TA Securities, adalah tambahan kepada RM251.5 juta kontrak yang diperoleh setakat ini, sekali gus memberikan keterlihatan terhadap usaha pengisian semula buku tempahannya.

 

Antara potensi kontrak dalam tempoh terdekat termasuk kerja bangunan utama projek Radium Hospital bernilai RM200 juta dan Southern Score berpeluang mendapatkan tender pembinaan berkaitan kerajaan.

 

Southern Score_DagangNews2026

 

"Kumpulan turut berpotensi meraih kontrak daripada projek berkaitan industri semikonduktor serta pelbagai kerja M&E pusat data (DC) yang menyokong pertumbuhan hasil melangkaui FY27," katanya.

 

Pada masa sama, pengurusan terus meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam bidang mekanikal, elektrikal, paip dan pemadaman kebakaran (MEPF) bagi melengkapkan keupayaan M&E.

 

TA Securities melihat strategi itu sebagai positif kerana berpotensi membolehkan Southern Score mengembangkan penglibatan sepanjang rantaian nilai pembinaan DC dan daripada nilai projek M&E.

 

Sementara itu, kumpulan kekal di landasan untuk mengemukakan semula permohonan pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama menjelang akhir Oktober 2026, dengan sasaran enam bulan selepas itu.

 

"Kami melihat perpindahan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama sebagai pemangkin penilaian semula saham kerana langkah itu mampu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur institusi," jelasnya.

 

Justeru TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan tanpa sebarang perubahan serta saranan ‘beli’ terhadap saham Southern Score dengan harga sasaran (TP) juga tidak berubah kepada 70 sen sesaham.

 

Firma itu terus menggemari kumpulan ini berikutan keterlihatan pendapatan kukuh, pendedahan strategik kepada sektor DC yang berkembang pesat serta margin bersih dua digit. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved