
MELAKA – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri sebelum melanggar pokok di pembahagi jalan di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Semabok di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Hakimin A. Samah, 24, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Kandang menghala ke Bandar Melaka.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan sebelum terjatuh di pembahagi jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan perlanggaran pada pokok serta kesan pecahan di pembahagi jalan.
Katanya, tiada saksi awam berada di lokasi kejadian dan rakaman kamera papan pemuka diperoleh setakat ini.
“Bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi mengetahui punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya – KOSMO! ONLINE
The post Penghantar makanan maut terbabas, langgar pokok di Lebuh AMJ appeared first on Kosmo Digital.






![[VIDEO] Puluhan motosikal penuhi Melaka Sentral halang laluan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/504e7a71-01f9-4ecd-b111-c1bd7b9fc6a1-1024x766.jpeg)