
Polis menahan dua penunggang motosikal dan menyita lapan kenderaan selepas mengesan aktiviti memandu secara melulu di Lebuh AMJ, Melaka Sentral.
MELAKA: Polis menahan dua penunggang motosikal disyaki memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) berhampiran Melaka Sentral di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata dalam operasi penguatkuasaan kira-kira 3 pagi itu, lapan motosikal turut disita selain 97 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan sepanjang operasi di sekitar daerah Melaka Tengah.
Beliau berkata anggota polis dalam operasi itu turut mengawal lalu lintas susulan satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal di Lebuh AMJ, Semabok pada 2.30 pagi.
“Pihak polis menerima aduan awam berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam aktiviti ‘mat rempit’ di kawasan Melaka Sentral kira-kira 3 pagi tadi.
“Susulan aduan itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Melaka Tengah telah menyalurkan maklumat kepada pegawai bertugas serta mengarahkan elemen polis berhampiran untuk menjalankan kawalan dan pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata aktiviti “mat rempit” di Lebuh AMJ di Melaka Sentral berkenaan turut dirakam orang awam dan tular di media sosial hari ini.
Halim berkata pihak polis mengambil kira peningkatan aktiviti serta penganjuran pelbagai acara di Melaka yang menarik kehadiran orang luar, sekali gus menyumbang kepada pertambahan aliran trafik dan penggunaan motosikal di beberapa lokasi tumpuan.




![[VIDEO] Puluhan motosikal penuhi Melaka Sentral halang laluan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/504e7a71-01f9-4ecd-b111-c1bd7b9fc6a1-1024x766.jpeg)

