Penghantaran pulang pelarian Myanmar diteruskan - Saifuddin Nasution

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 12:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penghantaran pulang pelarian Myanmar diteruskan - Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN Bagi Bulan Oktober 2026 di Auditorium Kompleks Setia Perkasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan meneruskan proses penghantaran pulang pelarian Myanmar susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Badan Peguam untuk menghentikan sementara penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian dan pencari suaka warga Myanmar.

Tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perbincangan mengenai pengurusan proses penghantaran pulang kumpulan kedua dengan kerajaan Myanmar juga akan diteruskan selagi tiada keputusan sebaliknya daripada mahkamah.

“Biar jalur undang-undang yang buat keputusan. Sehingga ada keputusan sebaliknya, kita teruskan buat masa sekarang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Badan Peguam memohon kebenaran untuk mencabar rancangan kerajaan menghantar pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar, termasuk etnik Rohingya dan kanak-kanak yang diiktiraf oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian atau pencari suaka.

Badan itu berhujah di mahkamah bahawa kepulangan mereka ke Myanmar boleh mendedahkan mereka kepada penganiayaan, diskriminasi dan bahaya lain, serta penghantaran pulang itu boleh menyebabkan semakan kehakiman menjadi tidak bermakna kerana kesannya berkemungkinan tidak boleh diubah lagi.

Bagaimana pun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Norliza Othman memutuskan bahawa penangguhan tidak boleh dibenarkan sebelum kebenaran bagi semakan kehakiman diberikan.

Tarikh semakan kehakiman permohonan itu ditetapkan pada 8 Disember depan. 

Setakat akhir Oktober 2026, kira-kira 10,300 pelarian dan tahanan warga Myanmar telah dibawa pulang ke negara asal mereka. Kerajaan mensasarkan 3,000 lagi pelarian atau tahanan dijangka dihantar pulang dalam bulan ini.

Pada 29 September, fasa pertama melibatkan 1,476 individu (tahanan) telah dihantar pulang menggunakan kapal laut dan kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Dalam pada itu, Saifuddin turut membidas membidas pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan mengadakan pertemuan dengan junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing menerusi lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, pertemuan itu merupakan usaha kerajaan menyelesaikan pelbagai masalah membabitkan pelarian Myanmar di negara ini yang tidak sepatutnya dijadikan sebagai modal politik.

Ujar beliau, kerajaan perlu berunding secara langsung dengan kepemimpinan Myanmar bagi membincangkan isu berkenaan dan mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

“Walaupun ada pihak yang kurang senang, atas apa alasan pun, tetapi bagi kita yang berdepan dengan masalah, kerajaan ada masalah dan kita kena uruskan masalah.

“Tiba-tiba kita dikatakan jangan berjumpa dengan pemimpin Myanmar. Macam mana nak selesai masalah kalau kita tak boleh jumpa dengan pemimpin Myanmar? Sebab itu kita jemput dia datang,” katanya.

Saifuddin berkata, kehadiran pelarian Myanmar menimbulkan pelbagai cabaran kepada negara, termasuk dari aspek ekonomi, politik dan sosial, selain meningkatkan beban pengurusan pusat tahanan imigresen.

Malah beliau mengakui isu berkenaan turut mencetuskan ketegangan dalam komuniti tertentu apabila segelintir masyarakat mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian.

“Penguat kuasa Imigresen tidak putus-putus menjalankan operasi. Depoh kita yang mempunyai kapasiti 20,000 orang, sekarang sudah mencecah lebih 23,000 orang.

“Kalau depoh terlebih muatan, timbul masalah baharu pula, termasuk masalah kesihatan dan pergaduhan sesama sendiri. Perbelanjaan meningkat, itu pun kita kena uruskan," tambahnya.

Sehubungan itu Saifuddin  mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar undang-undang, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved