GEORGE TOWN: Penghuni empat buah rumah berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong yang mengorbankan nyawa seorang doktor pada 25 Oktober lalu masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, larangan itu masih berkuat kuasa sementara menunggu kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang bagi membolehkan kerja-kerja mitigasi dan pembaikan cerun dijalankan.
Menurutnya, Seksyen Siasatan dan Pendakwaan JKKP Pulau Pinang telah menerima laporan kejadian tanah runtuh daripada jurutera geoteknikal pihak pemaju pada 5 November lalu.
Bagaimanapun, katanya, JKKP masih menunggu dokumen lengkap serta permohonan rasmi daripada jurutera awam pemaju yang bertindak sebagai pegawai penguasa (S.O.) bagi projek berkenaan.
“Dokumen dan permohonan tersebut dijangka dikemukakan kepada JKKP esok untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat negeri, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Mooi Lye berkata, sebelum ini JKKP telah meminta pihak pemaju melalui jurutera geoteknikal dan jurutera awam mereka mengemukakan pelan mitigasi serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
Katanya, permohonan rasmi perlu dikemukakan kepada JKKP terlebih dahulu sebelum kelulusan dapat diberikan kepada pemaju untuk memulakan kerja-kerja mitigasi di kawasan runtuhan cerun berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, empat unit rumah yang dikenal pasti masih berisiko kekal tidak boleh diduduki sehingga urusan berkaitan mendapat pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa berkenaan.
Mengulas mengenai kebajikan penghuni yang terjejas, Mooi Lye berkata, urusan berkenaan diserahkan kepada wakil rakyat kawasan. – UTUSAN
The post Tanah runtuh: Empat rumah di Paya Terubong belum boleh diduduki appeared first on Utusan Malaysia.






