SHAH ALAM – Program Arafah #QuranHour yang bakal berlangsung pada 9 Zulhijjah di Tanah Suci dijangka memberi pengalaman cukup bermakna kepada jemaah apabila mereka berpeluang membaca dan menghayati al-Quran dalam keadaan berihram bersama ribuan umat Islam lain.
Pembimbing haji Juara Travel & Tours, Mohammad Hasnil Abu Bakar berkata, suasana pelaksanaan program itu di Tanah Suci mempunyai kelainan tersendiri berbanding di Malaysia.
Menurutnya, pengalaman membaca al-Quran di bumi suci ketika musim haji mampu memberi penghayatan lebih mendalam kepada jemaah.
“Bezanya saat membaca al-Quran dalam ihram bersama jemaah yang berihram di Tanah Haram yang mulia.
“Ia berselang-seli dengan tazkirah, talbiah dan doa mustajab yang dipanjatkan bersama keluarga musafir perindu mabrur,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga pendakwah bebas berkata, penglibatannya bersama #QuranHour sejak beberapa tahun lalu menjadikan detik wukuf lebih bermakna apabila setiap surah pilihan dapat ditadabbur secara mendalam.
“Tahun ini surah pilihan ialah Surah al-Muzzammil.
“ALLAH pilih kami agar kami para ini semakin dekat dengan jalan taubat melalui penghayatan kalam-kalam-Nya,” katanya.
Tambahnya, program itu juga menjadi platform mengajak jemaah menikmati kemanisan firman ALLAH dan memahami mesej wahyu Ilahi.
Mengulas lanjut, Mohammad Hasnil berkata, penyertaannya dalam program tersebut didorong semangat kebersamaan ummah sepanjang musim haji.
“Haji ialah kebersamaan ummah di Tanah Suci pada masa suci di Tanah Haram. Ia juga kebersamaan ummah dalam ibadah puasa Arafah dan wukuf di Arafah.
"Arafah #QuranHour mampu mendekatkan umat Islam dengan al-Quran kerana pengisiannya disusun secara teratur dan profesional," katanya.
Mohammad Hasnil turut memaklumkan sambutan jemaah Malaysia terhadap program berkenaan amat menggalakkan, terutama dengan penyediaan nota berbentuk plakad yang membantu pemahaman al-Quran.
Arafah #QuranHour yang dicetuskan oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dan Juara Travel & Tours merupakan salah satu daripada rakan sinergi yang menggerakkan kempen tersebut di Tanah Suci.
