Kukuh penghayatan ibadah haji

23 May 2026 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kukuh penghayatan ibadah haji
Fahrur Rozi

MAKKAH - Pengalaman lebih empat tahun menganjurkan Arafah #QuranHour memberi kesan signifikan dalam memperkukuh pemahaman serta penghayatan ibadah dalam kalangan jemaah khususnya melalui pendekatan tadabbur ayat al-Quran berkaitan ibadah haji.

Pengurus Kanan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, Fahrur Rozi Jalaluddin berkata, pengisian program yang berpaksikan ayat al-Quran memberi kesan langsung kepada jemaah dalam memahami serta menyempurnakan Rukun Islam kelima dengan lebih mendalam.

Menurut beliau, tema dan kandungan Arafah #QuranHour turut menyentuh aspek peribadi jemaah, sekali gus membantu mereka menghayati makna sebenar ibadah ketika berada di Tanah Suci.

Mengulas peranan selepas pulang ke tanah air, beliau berkata, sejarah telah membuktikan jemaah haji suatu ketika dahulu menjadi ejen perubahan besar kepada masyarakat termasuk dalam gerakan mengislah diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Jemaah haji dahulu sebelum merdeka pulang menjadi figura yang mengislah masyarakat serta watan, malah bangkit melawan penjajahan British, Belanda dan Jepun serta menentang ideologi komunisme,” katanya.

Justeru, beliau berkata, jemaah haji masa kini juga diharapkan mampu memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mendaulatkan ajaran al-Quran dalam semua lapisan kehidupan.

Mengulas tema Arafah #QuranHour 2026, 'The Chosen One', beliau berkata, ia menyedarkan jemaah bahawa pemilihan ke Tanah Suci adalah ketentuan ALLAH SWT dan bukan berlaku secara kebetulan.

Jelasnya, peluang yang sangat terhad itu perlu dihargai dengan kesungguhan tinggi dalam memastikan ibadah dilaksanakan dengan berkualiti berasaskan sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam yang belum berpeluang menunaikan haji supaya mengikuti program Arafah #QuranHour melalui media sosial bagi mendapatkan kefahaman serta semangat berkaitan ayat al-Quran yang berkait rapat dengan ibadah haji.

“Mudah-mudahan dengan kesungguhan kita, ALLAH SWT menjemput kita sebagai Dhuyufurrahman pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Bagi musim haji 1447H, beliau memaklumkan Zahafiz Travel & Tours menguruskan kira-kira 350 jemaah haji, manakala sejak 30 tahun penubuhan syarikat serta 22 tahun sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen Tabung Haji, jumlah alumni haji kendalian syarikat itu dianggarkan mencecah sekitar 15,000 orang termasuk dari luar negara.

Jelasnya lagi, antara program susulan selepas kepulangan jemaah ke tanah air ialah penganjuran reunion serta pengisian kuliah bagi memastikan ukhuwah dan kesedaran berterusan dalam kalangan alumni haji.

Beliau turut menjelaskan kolaborasi antara Zahafiz Travel & Tours dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam penganjuran Arafah #QuranHour memberi impak besar terhadap kefahaman serta penghayatan jemaah, di samping melengkapkan Siri Kuliah Manasik Haji sedia ada.

“Kolaborasi ini mendekatkan jemaah kepada al-Quran, hadis dan sirah berkaitan haji, seterusnya melahirkan jemaah yang lebih berperanan dalam mengislah masyarakat dan negara,” tambahnya.

Menurutnya, Arafah #QuranHour akan dilaksanakan pada 9 Zulhijjah 1447H bersamaan 26 Mei di Maktab 69, Padang Arafah sekitar jam 9 pagi waktu Arab Saudi, bagaimanapun sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.